Hasni 'tersingkir': BN perlu jelaskan pada pengundi – PKR
BN dan Umno digesa menjelaskan kepada pengundi mengapa pengerusi BN negeri Hasni Mohammad telah diketepikan untuk memegang jawatan menteri besar Johor bagi penggal kedua berikutan pilihan raya pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata memilih Adun Machap Onn Hafiz Ghazi untuk menjadi menteri besar seolah-olah sama dengan menipu rakyat.
“Semasa pilihan raya - sama ada atas poster, papan iklan atau bendera - Hasni dipromosikan sebagai menteri besar seterusnya. Ia menjadi daya penarik mereka, dan tidak dapat dinafikan salah satu faktor kemenangan mereka juga.
“Tetapi menukar calon menteri besar secara tiba-tiba menunjukkan keangkuhan Umno dan BN dengan menipu rakyat selepas memenangi pilihan raya.
“Kita harus menghormati keputusan rakyat. Rakyat telah memilih Umno dan BN untuk memimpin Johor, tetapi mereka menggunakan rakyat sebagai alat dan melibatkan mereka dalam perseteruan politik,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Umno dan BN telah mencetuskan pilihan raya negeri atas alasan untuk memastikan kestabilan politik, hanya untuk 'mengkucar-kacirkan' politik Johor dalam masa beberapa hari selepas pilihan raya.
“Ini jelas menunjukkan tindakan membubarkan DUN bukan untuk kestabilan politik atau untuk menguntungkan rakyat, tetapi semata-mata untuk perebutan politik peribadi,” katanya.
Onn Hafiz yang juga anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru petang tadi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Onn Hafiz, 44, ialah piut kepada menteri besar Johor pertama Jaafar Muhamad.
Moyangnya pula pengasas Umno, Onn Jaafar yang juga bekas menteri besar ketujuh manakala datuknya perdana menteri ketiga Hussein Onn.
Pelantikannya sebagai menteri besar Johor ke-19 itu susulan kemenangan besar BN pada pilihan raya yang menyaksikan gabungan itu memenangi 40 dari 56 kawasan pilihan raya negeri itu.
Sebelum pelantikan Onn Hafiz sebagai menteri besar, BN nampaknya menghadapi halangan untuk mengangkat 'calon tunggal' mereka untuk jawatan itu.
Walaupun Hasni menjadi wajah kempen BN sepanjang pilihan raya, semalam dia mengakui tidak akan mendapat peluang menjadi menteri besa untuk penggal kedua.
Hasni juga meminta kepimpinan BN melantik seorang pemimpin muda untuk menerajui negeri itu.
Pun begitu, sumber mendakwa "kuasa yang lebih tinggi" memihak kepada Onn Hafiz sebagai menteri besar. Dilaporkan bahawa pemimpin Umno juga telah menolak campur tangan sebagaimana yang didakwa.
Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata Onn Hafiz masih perlu menguji majoritinya di DUN walaupun proses pelantikannya selaras dengan undang-undang tubuh kerajaan Johor.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai