Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Perlu simulasi untuk program ramalan banjir Selangor’

Program Ramalan Amaran Banjir (PRAB) di Selangor memerlukan pelaksanaan simulasi taburan hujan supaya hebahan yang tepat, pada masanya dan lebih awal mengenai risiko bencana itu dapat dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ir Izham Hashim berkata susulan fenomena perubahan iklim, taburan hujan kini sudah tidak sama seperti dahulu iaitu taburan hujan yang besar berlaku di hulu sungai atau di kawasan tadahan air dan kawasan empangan. 

"Kita dapati di Shah Alam contohnya hujan yang berlaku pada Jumaat dan Sabtu itu (ketika banjir akhir tahun lepas), menerima lebih 300 milimeter hujan, yang peliknya kawasan hiliran iaitu Klang terima hampir 500 milimeter...yang lebat di hilir pula, bukan di hulu," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Lau Weng San (PH-Banting) yang ingin tahu cara kerajaan negeri untuk membuat ramalan lebih awal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Izham berkata PRAB yang sebelum ini difokuskan di Kelantan, Terengganu dan Pahang kini akan dipercepat pelaksanaannya di Selangor dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024 yang merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.

PRAB berupaya meramal kejadian banjir monsun tujuh hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun dua hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5 m) dan ramalan banjir kilat air sejam ke tiga lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Justeru beliau berkata perancangan kerajaan untuk program tebatan banjir tidak boleh lagi menggunakan kaedah konvensional yang memfokuskan kawasan hulu sebagai tempat simpanan air.

"Ini memerlukan kita membuat profiling atau topografi di seluruh kawasan sungai dan muka bumi di Selangor supaya apabila berlaku taburan hujan di merata tempat, kita boleh buat simulasi dan melihat kesannya bagaimana aliran air, keadaan banjir dan di tempat mana," katanya.

Menurutnya, tanpa data dan topografi yang tepat, simulasi tidak dapat dilakukan dan proses mendapatkan data serta topografi telah pun dimulakan menggunakan teknologi terkini tetapi akan mengambil masa untuk diselesaikan. 

Pada masa sama, Izham turut meminta MetMalaysia menambah baik sistem bagi mengeluarkan amaran berkaitan cuaca dan bencana alam.

"Pada bulan 12 lepas, amaran telah diberi tapi lebih kepada amaran berjaga-jaga dan tidak ada amaran yang seolah-olah akan berlaku banjir besar. Jadi, ini yang kita minta untuk diperbaiki," katanya.

Beliau turut memaklumkan penyelesaian tuntas kepada masalah banjir di negeri itu memerlukan kos yang tinggi melebihi RM7 bilion dan kerajaan negeri sedang memikirkan kaedah untuk mendapatkan dana tersebut termasuk melibatkan kerjasama kerajaan Persekutuan.

 - Bernama