Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO alam sekitar gesa siasat tanah runtuh di Ampang

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Selangor menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (COI) berhubung tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai, Ampang minggu lalu.

Bagi mengelak tragedi sebegini berulang, COI perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca tanah runtuh, sekiranya berlaku kecuaian oleh sesiapa termasuk pihak berkuasa.

“Apakah langkah pemulihan dan pencegahan yang diperlukan, termasuk sama ada undang-undang dan garis panduan yang sedia ada bagi perlindungan tanah bukit dan keselamatan cerun adalah mencukupi atau memerlukan penambahbaikan.

“COI ini amat diperlukan memandangkan kawasan Ampang sangat terdedah kepada tanah runtuh, seperti yang terbukti daripada keruntuhan Highland Towers pada 1993.  Nampaknya tidak ada pengajaran daripada tragedi tersebut yang telah meragut 48 nyawa,” kata Presiden SAM Meenakshi Raman dalam kenyataan, hari ini.

Penubuhan COI membolehkan siasatan berhubung isu melibatkan hal ehwal awam diadakan secara umum, berbanding mahkamah biasa.

Menurut Meenakshi, COI yang diadakan untuk tanah runtuh di Pulau Pinang pada 2017 telah membawa penambahbaikan terhadap garis panduan cerun bukit. 

“COI sebegini bukan baru. Di Pulau Pinang berikutan tragedi tanah runtuh yang meragut 11 nyawa pada 2017, COI telah dilaksanakan dan membawa kepada penambahbaikan garis panduan cerun bukit, dan telah mendapati jurutera perunding yang diupah oleh pemaju bertanggungjawab atas kecuaian.

“Kita mesti mencegah tragedi seperti ini berlaku pada masa depan, sementara menjalankan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan keselamatan penduduk di zon tanah runtuh,” katanya.

Meenakshi turut menekankan kepentingan mengukuhkan daya tahan terhadap impak perubahan iklim, kerana kekerapan dan kelebatan hujan akan meningkat dan ia berisiko terus menyebabkan tanah runtuh pada masa akan datang.

Pada Khamis lalu, tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Permai 2 meragut empat nyawa dan seorang cedera.

Sejumlah 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.

Selain itu, lebih 200 penduduk dari 48 rumah di kawasan itu juga terpaksa mengosongkan kediaman susulan terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah di lokasi kejadian.

Penduduk di 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1 juga diarahkan mengosongkan kediaman buat sementara, selepas tanah runtuh berlaku lagi di sekitar kawasan itu pada Sabtu lalu.