Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Khairuddin pernah janji tak akan keluar PAS, kata Hashim

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin akan mendapatkan penjelasan daripada Khairuddin Aman Razali berhubung permohonannya untuk keluar daripada parti itu.

Menurut Hashim, ini kerana Khairuddin sebelum ini berjanji tidak akan keluar daripada PAS.

"Dia janji dengan saya, apa pun yang jadi, dia tak akan keluar dari PAS. Ini menggemparkanlah apabila dia ambil tindakan begitu (keluar PAS).

"Tapi ikut janji dia, dia tak akan keluar daripada PAS. Jadi saya akan dapatkan penjelasan daripada dia sendiri," kata pemimpin tertinggi parti itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Khairuddin mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli PAS dalam satu sidang media hari ini dan menjadi ahli parlimen bebas.

Ahli parlimen Kuala Nerus itu berkata surat berhubung perkara tersebut telah pun dikemukakan kepada setiausaha agung Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan parti.

"Merujuk perlembagaan PAS, fasal 15 (1) (a) pemberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

"Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS," kata bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu.


Baca: Khairuddin keluar PAS, isytihar diri MP Bebas


Ditanya jika Khairuddin pernah berkongsi apa yang terbuku di hatinya, Hashim tidak mendedahkannya.

Bagaimanapun, dia berkata tindakan Khairuddin itu merupakan satu kehilangan dan menyuarakan penghargaan untuk segala pengorbanannya kepada PAS.

"Sedikit sebanyak (rasa kehilangan) dan terima kasih atas pengorbanan dia dalam jemaah ini," katanya.

Ditanya jika dia akan cuba memujuk Khairuddin untuk menarik balik permohonannya, Hashim berkata ia bergantung kepada keadaan.

"Kita tengok keadaan macam mana," katanya ringkas.

Dilihat sebagai pemimpin PAS yang lebih cenderung kepada Muafakat Nasional (MN), Khairuddin kebelakangan ini tampil mengkritik pendekatan parti termasuk langkah pemimpin yang menyerang Umno ketika PRN Johor.

Dia juga sebelum ini digugurkan daripada anggota jawatankuasa (AJK) PAS dan dipecat daripada jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.