Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendekatan 'khemah besar' perlu diteruskan - Guan Eng

Pemimpin DAP, Lim Guan Eng berkata pendekatan 'khemah besar' melibatkan semua parti pembangkang yang menentang BN, kecuali Perikatan Nasional (PN), mesti diteruskan.

Lim, dalam satu kenyataan hari ini, menolak dakwaan bahawa wabak Covid-19 punca kadar peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini.

Sebaliknya dia menyifatkan kegagalan pembangkang untuk memenangi PRN berkenaan berpunca daripada tiadanya perpaduan dalam kalangan parti pembangkang.

Katanya, ini dapat dilihat daripada kegagalan pembangkang bertanding menggunakan logo yang sama, tidak mengadakan perbincangan mengenai calon menteri besar, malah bertanding sesama sendiri.

“Pendekatan khemah besar semua parti pembangkang tulen yang menentang BN, tidak termasuk Perikatan Nasional, mesti diteruskan.

“Tidak ada gunanya menyalahkan peratusan keluar menggundi rendah sebagai punca kekalahan PH bagi menafikan dan menutup keengganan berterusan untuk memahami atau enggan menangani punca utama.

“Hanya dengan itu kita boleh mengelak daripada kehilangan semua kerusi dan menawarkan harapan untuk kebangkitan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai contoh, bagaimana kita boleh meyakinkan pengundi bahawa PH komited terhadap undang-undang anti-lompat dan pengkhianatan mandat rakyat apabila pembelot daripada parti kerajaan diletakkan sebagai calon?” kata Lim.

Presiden Amanah Mohamad Sabu sebelum ini turut menggesa PH kembali kepada gagasan ‘khemah besar’ yang digunakan sewaktu menghadapi PRU14, sehingga membawa kemenangan gabungan itu.

Mohamad berkata kegagalan gabungan itu pada pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak pada November dan Disember lalu menunjukkan PH perlu berani membuat perubahan demi kesinambungan perjuangan mereka.

Mengakui banyak perkara yang perku dilakukan DAP, Lim mengingatkan terdapat keperluan 'mendesak' untuk berfikir sebagai sebuah gabungan pada masa ini.

"Ada keperluan mendesak untuk berfikir sebagai sebuah gabungan, tidak tertumpu semata-mata kepada kepentingan sempit parti sendiri. Hanya dengan berkongsi kemenangan kita sebagai gabungan, kita boleh menang lebih banyak,” kata Lim.