Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS jadi tetamu PAU? Ahmad cuma diam...

Tidak sampai tiga tahun selepas dimeterai, nasib Muafakat Nasional yang menggabungkan Umno dengan PAS dalam kerjasama kini terus menjadi teka-teki.

Ketika Umno bakal mengadakan perhimpunan agung tahunannya pada pertengahan minggu ini, pemimpin parti itu enggan menjawab sama ada PAS akan menjadi antara tetamu kehormat mereka.

Umno akan mengadakan perhimpunan dengan perasmian sayap-sayap parti pada 16 Mac ini, diikuti persidangan sayap dan mesyuarat agung tahunan pada 18 Mac.

Ketika ditanya, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, enggan menjawab sama ada PAS akan dijemput menghadiri perhimpunan berkenaan atau tidak. Sebaliknya dia meminta wartawan bertanya soalan yang lain.

"Ada soalan lain?" tanya Ahmad ketika diajukan soalan mengenai jemputan kepada PAS.

Hubungan PAS dengan Umno retak sedikit demi sedikit sejak parti itu memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Nov tahun lalu.

Ia semakin tegang dan dianggap retak menanti belah apabila berlangsungnya PRN Johor baru-baru ini.

Bebas bangkitkan isu PRU

Umno menyambut PAS sebagai salah satu tetamu khas mereka dalam persidangan tahunan tahun lalu. Namun beberapa kejadian berlaku termasuk yang dianggap mengaibkan pemimpin parti terbabit.

Menurut Ahmad, Umno akan menjemput pemimpin parti komponen BN dan rakan mereka, selain duta-duta asing.

"PAU akan disertai friends of BN (rakan-rakan BN) serta duta-duta, pesuruhjaya tinggi kedutaan asing," katanya.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu Ahmad turut ditanya sama ada PAU kali ini akan menyentuh tentang usul supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

Jelasnya, usul-usul yang akan dibawa ke perhimpunan kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa usul esok.

Namun Ahmad membayangkan parti itu memberi kebebasan kepada perwakilan untuk membangkitkannya dalam perbahasan nanti.

"(Usul) PRU itu belum diputuskan, Umno terbuka terbuka kepada jurucakap (untuk membangkitkannya).

"Mungkinlah ada yang menyentuh tetang PRU ke-15, itu kita tak tahu lagi dan mereka bebas untuk mengungkapkan asalkan tidak menyentuh isu sensitif," katanya.