Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno bersidang dengan semangat kemenangan, kata Ahmad

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula Rabu ini akan diwarnai semangat kemenangan dan rasa kesyukuran selepas BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata sudah pasti kemenangan PRN Johor yang baru diraih kelmarin menjadi suntikan semangat kepada 5,571 perwakilan dari seluruh negara yang akan hadir.

"Semangat kemenangan dan rasa penuh kesyuakuran kerana kemenangan PRN Melaka, semangat kesyukuran kerana kemenangan PRN Johor akan dibawa bersama oleh perwakilan Umno.

"Jadi, siri kemenangan BN dan rakan BN beri nafas kepada Umno dan perwakilan, ia akan mewarnai perhimpun kali ini.

"Umno bangkit, BN bangkit untuk meneruskan perjuangan menerajui negara," katanya dalam sidang di ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

PAU 2021 dijangka menjadi tumpuan selepas BN berjaya memenangi dua PRN sekali gus memberi tekanan supaya pilihan raya umum diadakan segera.

Kelmarin BN memenangi PRN Johor dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) itu.

Perhimpun kali ini akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu dan akan berakhir Sabtu nanti.

Mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRN Johor, namun dikatakan gagal memenangi undi popular yang didakwa memihak pembangkang, Ahmad berkata sistem demokrasi Malaysia tidak berasaskan undi popular sebaliknya parti yang memiliki majoriti kerusi dalam sesebuah DUN atau Dewan Rakyat.

"Sistem demokrasi di Malaysia bukan guna sistem popular, tapi siapa yang sampai awal (capai majoriti) dia menang.

"Pembangkang tak boleh campur undi (yang diperolehi) Pakatan Harapan (PH), undi Pejuang undi, undi bebas... tak boleh. Bukan itu sistemnya," kata ahli parlimen Pontian itu lagi.

Ditanya mengenai sokongan pengundi muda yang pertama kali mengundi, Ahmad berkata kemenangan BN di Johor turut disumbang oleh kumpulan berkenaan.