Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | 6 iktibar buat PH jika tak mahu jadi pelancong pilihan raya

ULASAN | Rekod kemenangan Umno/BN dalam PRN Johor semalam bukanlah pengakhiran perjuangan menentang Umno/BN yang terbukti sebuah kerajaan gagal dan korup.

Peratusan undi keseluruhan Umno/BN adalah 43 peratus, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan tunggal bagi menyedapkan hati mengubat kekalahan pembangkang.

Tetapi sekurang-kurangnya peratusan ini menunjukkan perjuangan pembangkang masih ada peluang dan harapan.

Harapan rakyat yang menolak Umno/BN tetap tinggi dan oleh itu, PH perlu bermuhasabah. Jika tidak, dalam PRU nanti, PH akan menjadi seperti pelancong pilihan raya.

Justeru, terdapat beberapa faktor yang perlu dinilai secara serius dan diambil langkah pembaikan.

1. Perpecahan pembangkang. Perpecahan undi dalam kalangan pembangkang telah mengakibatkan BN selesa memenangi PRN ini. Undi pembangkang terutama undi Melayu terbahagi-bahagi kepada beberapa parti pembangkang yang bertembung terutama PH-PN.

Kemenangan PH dalam PRU-14 lalu kerana penyatuan semua parti pembangkang dengan wujudnya sebuah parti teras Melayu. Formula ini perlu digunakan sekali lagi.

2. Isu kempen yang tidak berkesan. BN membawa isu kestabilan sebagai isu teras dalam PRN ini. Apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’, rakyat melihat kepada perlunya sebuah kerajaan yang stabil. Pembangkang terutama PH gagal membawa mesej kestabilan, malah gagal menunjukkan kekuatan ini.

3. PH gagal membawa isu ekonomi/perut rakyat secara serius. Terlalu bergantung kepada isu rasuah kurang memberi kesan kerana PH gagal mengawal naratif kestabilan yang dibawa oleh BN dan pengundi Johor tidak lagi melihat isu rasuah merupakan isu utama.

Bukannya rakyat Johor tidak memahami isu rasuah, cuma mood kali ini mahukan sebuah kerajaan yang boleh menjamin kehidupan terutama kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

4. Imej perpaduan pembangkang yang longgar. Pengundi melihat imej perpaduan yang longgar memberikan kesan kepada kestabilan.

Jika isu logo sendiri gagal diselesaikan di peringkat awal, ini membawa tanggapan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti sukar bertahan lama.

Formula melawan satu musuh perlu dikenal pasti dahulu, disusuli satu logo, satu manifesto dan satu suara.

5. Kelemahan mobilisasi pengundi luar untuk pulang. Kelemahan PH menyakinkan pengundi luar pulang memberikan kesan. Walaupun ada usaha, tetapi tidak cukup terutamanya pengundi yang tinggal di Singapura.

Walaupun ada pergerakan pengundi di Lembah Klang, tetapi masih belum cukup. Kebanyakan pengundi secara asasnya mahu mengundi dalam PRU-15 daripada PRN.

Oleh itu, gelombang kebangkitan rakyat perlu dibina semula bagi merangsang semangat keluar mengundi yang tinggi di kalangan pengundi.

6. Kelemahan penguasaan media sosial di kalangan parti-parti PH semakin ketara yang menyebabkan mesej kempen tidak sampai kepada pengundi. Justeru, PH perlu perkasakan semula tentera sibernya yang terbukti banyak membantu dalam kemenangan PRU-14 lalu.

Terima kasih semua jentera Amanah dan PH atas kerja keras dalam PRN Johor. Terus berjuang.


FAIZ FADZIL merupakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Permatang Pasir dari parti Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.