Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'RUU antilompat parti bukan ditolak, tapi ditangguh'

Bacaan pertama rang undang-undang antilompat parti, yang sepatutnya dibentangkan dalam persidangan Parlimen bulan ini, ditangguhkan.

Ia tidak ditolak oleh kabinet, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa sumber di Jabatan Perdana Menteri menafikan rang undang-undang itu ditolak oleh semua ahli parlimen kerajaan kerana pembentangan rang undang-undang itu memerlukan penglibatan dengan semua pihak.

Memandangkan ramai ahli parlimen daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) terlibat dalam pilihan raya mengejut Johor yang berakhir semalam, sumber itu berkata keadaan ini menyebabkan pembentangan rang undang-undang itu ditangguhkan.

“Sebelum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan, arahan yang diterima mesti melibatkan kepimpinan semua parti politik sebagai syarat, tetapi kerana BN dan PN tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kerana terlibat dalam pilihan raya negeri... (libat urus) tidak dapat dilakukan pada masa ini.

“Walaupun sudah ada tarikh yang ditetapkan untuk pembentangan bacaan kali pertama, ia masih tidak dapat diteruskan kerana ia menyentuh aspek libat urus dengan wakil rakyat dan perkara ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet,” kata sumber itu.

Sumber itu menjelaskan bahawa sesi pertemuan dengan ahli parlimen bertujuan untuk menjelaskan tujuan rang undang-undang itu serta tafsiran "lompat parti" termasuk apabila seseorang meninggalkan parti politik atau gabungan.

Bagaimanapun, sumber itu menyatakan bahawa draf rang undang-undang itu sudah disediakan sepenuhnya dan ia hanya perlu dibentangkan di Parlimen.

“Rang undang-undang sudah sedia, cuma penjelasan kepada (ahli parlimen) yang belum dibuat. Tarikh baru (pembentangan) akan diputuskan antara kerajaan dan pembangkang,” kata sumber itu.

Sumber itu juga menegaskan bahawa kerajaan serius untuk melaksanakan rang undang-undang itu.

“Jangan kata ia hanya akademik. Kerajaan tidak bermain politik dalam perkara ini,” kata sumber itu.

Naib presiden Warisan Junz Wong semalam mendakwa terdapat spekulasi bahawa rang undang-undang antilompat parti telah ditolak mentah-mentah oleh Kabinet dan rang undang-undang itu tidak akan dibentangkan di Parlimen bulan ini.

Pada 5 Mac, menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memberi jaminan bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan sebelum berakhirnya persidangan parlimen semasa pada 24 Mac.

Malaysiakini telah menghubungi Wan Junaidi semalam untuk mengulas mengenai perkara itu tetapi masih belum menerima maklum balas.