Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ismail yakin keputusan PRN Johor tak jejaskan hubungan kabinet

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan BN menang besar semalam diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun dia optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

"Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara...kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti.

"Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Bera, Pahang hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Norolazali Sulaiman.

PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala PH (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Muda.

Ismail juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya PRU diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia.

"Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan.

"Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai," katanya.

Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama PH bagi meredakan suhu politik selepas dilantik sebagai perdana menteri, dia berkata masih terlalu awal untuk menyatakan 'masa depan' MoU itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

Sama ada MoU itu akan disambung atau tidak, Ismail yang juga ahli Parlimen Bera berkata dia 'tidak mahu membuat spekulasi awal kerana belum masanya'.

Mengulas mengenai Perhimpuan Agung Umno yang dijadual bermula Rabu ini, naib presiden Umno itu melihat hala tuju parti, menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan, termasuk tidak menolak kemungkinan isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS.

"Saya juga menunggu ucapan presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan juga ucapan pembahas-pembahas. Hala tuju sekarang mungkin berbeza daripada sebelum ini susulan pelbagai perkembangan semasa, termasuk PRN.

"Jadi saya tunggu ucapan dan intipati ucapan yang akan dibahaskan setiap negeri serta resolusi yang akan dicapai... ini yang akan jadi hala tuju Umno selepas ini," katanya.

-Bernama