Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Waris korban tanah runtuh akan terima RM10,000 dari k'jaan S'gor

Keluarga korban tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang di Kuala Lumpur akan menerima bantuan wang tunai RM10,000 daripada kerajaan negeri Selangor.

Menteri besar Selangor Amirudin Shari turut mengumumkan bantuan kecemasan berjumlah RM500 akan disalurkan kepada penduduk 15 rumah yang terjejas akibat tanah runtuh itu.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, bantuan itu hanya akan disalurkan apabila siasatan dijalankan di tempat kejadian oleh pihak berkaitan selesai.

“Kita ada empat mangsa yang maut, jadi kerajaan Selangor akan beri RM10,000 kepada setiap keluarga.

“Sementara itu, kita akan tangguhkan (bantuan) rumah yang terjejas kerana kita ingin mengutamakan keadaan selamat dahulu sebelum kita umumkan bantuan dan sokongan yang boleh diberikan.

“Sebelum ini kita beri RM500 tetapi saya akan semak jika ada keperluan untuk menambah (peruntukan bantuan),” katanya pada sidang media di Taman Bukit Permai 2 hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 petang semalam meragut empat nyawa manakala seorang lagi mangsa cedera ringan dalam kejadian yang turut menjejaskan 15 rumah dan 10 kenderaan.

Operasi mencari dan menyelamat bermula apabila sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang.

Ketika kejadian, penduduk di kawasan itu terdengar bunyi dentuman kuat akibat tanah runtuh yang berlaku ketika hujan lebat.

Kejadian itu turut dirakam oleh penduduk ketika ia berlaku.