Projek tambak Muar: Perlu ambil kira pandangan jabatan berwajib, kata Mukhriz
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir hari ini berkata sebarang projek pembangunan yang dirancang di negeri Johor mesti mengambil kira maklum balas daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam proses awal.
Mengimbas pengalamannya sendiri sebagai bekas menteri besar Kedah, Mukhriz berkata ada kalanya saranan daripada agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar diabaikan semasa perbincangan exco negeri.
"Jadi saya harap apa juga keputusan diambil kerajaan negeri mesti betul-betul memberi pertimbangan pandangan jabatan berwajib.
"Apatah lagi sekiranya mendatangkan kerosakan alam sekitar dan menjejaskan pendapatan penduduk," kata Mukhriz kepada pemberita di Larkin ketika berkempen untuk calon Pejuang Mohamad Riadz Mohamad Hashim.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Pejuang mengenai cadangan Maharani Energy Gateway - projek penambakan laut baru di pesisir pantai Muar di Johor, milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang dijangka dimulakan seawal tahun ini.
Projek itu bertujuan mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan penciptaan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat daripada saiz Putrajaya.
Penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu tersedia untuk akses orang ramai pada 14 Feb, di bawah kerajaan negeri sementara, dan boleh diakses sehingga Selasa depan (15 Mac).
Memasuki pusingan terakhir berkempen, Mukhriz berkata lawatannya ke penempatan Felda di seluruh Johor setakat ini menunjukkan kemajuan dari segi sokongan kepada Pejuang.
"Saya rasa terkejut kawasan yang biasa dianggap sebagai 'fixed deposit' BN, sekarang dah boleh ditembusi Pejuang.
"Kita naikkan banyak juga bendera dan kita tanya dengan warga Felda kenapa ini berlaku, mereka kata dah rasa terlalu lama minta macam-macam contohnya perumahan generasi kedua dan sebagainya.
"Setiap kali pilihan raya pecah tanah sampai tanah dah pecah-pecah. Mereka kata cukuplah, kali ni nak beri peluang pada Pejuang," kata Ahli Parlimen Jerlun itu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa satu majlis di Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, semalam mendakwa terdapat pihak tertentu cuba 'merosakkan simpanan tetap' BN dengan memainkan isu yang melibatkan peneroka Felda.
Ismail Sabri juga menghuraikan rancangan kerajaan pusat dan negeri untuk membantu pemilik rumah kali pertama dalam kalangan peneroka Felda generasi kedua, menawarkan 3,200 bidang tanah negeri untuk dijual dan dibangunkan oleh pembeli individu.
Pejuang meletakkan 42 calon dalam pilihan raya Johor dan Mukhriz berkata parti itu kekal optimistik dalam peluang membentuk kerajaan dengan sekurang-kurangnya 29 kerusi, jumlah minimum yang diperlukan daripada jumlah 56 kerusi di DUN.
"Kita akan tunggu dan lihat," katanya ketika ditanya sama ada Pejuang akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan jika gagal memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi.
“Paling penting bagi kami, mereka mesti berkongsi aspirasi kami. Jadi pihak yang terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa, kita tidak akan mendekati mereka,” tambah Mukhriz.
Pengasas Pejuang Dr Mahathir Mohamad, yang juga bapa Mukhriz, telah membuat kemunculan mengejut pada jejak kempen Pejuang minggu lalu, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesihatannya.
Ditanya mengenai kesihatan Mahathir, Mukhriz berkata pemimpin berusia 96 tahun itu telah kembali ke Langkawi semalam dan menjalankan tugas sebagai ahli parlimen.
Dia berkata Mahathir juga mungkin tidak akan membuat penampilan lain di Johor tetapi akan menyampaikan "mesej terakhir" kepada pengundi melalui surat terbuka lain.
Rakyat Johor keluar mengundi pada 12 Mac.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai