Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Calon PAS tetap bangga walau hilang deposit, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pemimpin dan ahli partinya itu tidak pernah kecewa jika kalah dalam mana-mana pilihan raya.

Sebaliknya kata Abdul Hadi merak akan tetap akan berbangga jika dicalonkan bertanding dalam sebarang pilihan raya walaupun berdepan risiko kehilangan deposit.

Katanya, sebagai parti yang mendukung prinsip demokrasi PAS juga tidak akan ketinggalan dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK), pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) sepanjang penubuhan parti itu.

"Kami tidak akan serik dengan hilang wang pertaruhan dan akan terus meletakkan calon.

"Ini kerana pemimpin dan ahli PAS memang sentiasa bersemangat untuk menjadi calon.

"Apa yang menarik di semua tempat kita bertanding walaupun lokasi itu tiada cawangan dan hilang wang pertaruhan, tetapi orang yang bertanding tetap bangga walaupun kalah dalam pilihan raya itu," katanya dalam satu wawancara disiarkan Sinar Harian, hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS bersedia berdepan satu lagi PRN jika BN bertindak membubarkan mana-mana dewan undangan negeri bagi memberikan tekanan kepada perdana menteri bagi mempercepatkan PRU ke-15.

PAS sekali lagi turun bertanding dalam PRN dengan panji-panji Perikatan Nasional di Johor. Sebelum ini mereka bertanding bersama Bersatu dan Gerakan di Melaka.

Sementara itu ditanya pendapatnya jika PRU ke-15 diadakan lebih awal Abdul Hadi berkata, perkara itu masih dalam kajian dan akan dinilai pasukan pemikir PAS dari masa ke masa.

"Kita bekerjasama dengan parti lain dan tidak membuat keputusan bersendirian.

"Cuma PAS ada pasukan pengkaji tersendiri dan akan dibuat perbandingan daripada rakan lain. Keputusan dibuat secara bersama," jelasnya.