Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP, menteri pengguna pun jadi ‘mangsa’ kit ujian palsu

PARLIMEN | Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dan Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi telah menjadi 'mangsa' terbaru kit ujian kendiri Covid-19 palsu.

Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, mereka berkongsi pengalaman selepas Cha Kee Chin (Pakatan Harapan-Rasah) menggesa kerajaan menangani kemungkinan kit ujian palsu berikutan kelulusan pelbagai jenama oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk pasaran pengguna.

Che Abdullah mendedahkan bahawa kit ujian kendiri berasaskan air liur (saliva) yang digunakannya menunjukkan keputusan negatif walaupun mengalami simptom Covid-19 yang berlarutan selama tiga hari.

"Kit ujian berasaskan air liur yang saya gunakan setiap pagi dan petang menunjukkan keputusan negatif, tetapi apabila saya menjalankan ujian RT-PCR, didapati positif. Ini merugikan pengguna," katanya.

Sambil menyatakan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, Alexander juga berkata bahawa dirinya mempunyai pengalaman sama seperti Che Abdullah (gambar, bawah).

"Memang kita difahamkan kit ujian berasaskan air liur adalah kurang tepat berbanding ujian RT-PCR.

“Saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Februari kerana Covid-19. Saya dibenarkan keluar dari hospital kerana saya tidak lagi menular.

"Tiga minggu kemudian dan sebelum parlimen bersidang semula, arahan supaya kita mengambil ujian PCR dan saya didapati positif. Virus ini boleh kekal dalam badan selama 90 hari," kata Alexander.

Menteri itu mengeluh bahawa sebelum ini dia telah membuat ujian sendiri setiap hari dan mendapat keputusan negatif sedangkan sebenarnya dia positif seperti yang ditunjukkan oleh ujian RT-PCR.

Che Abdullah yang juga bekas timbalan menteri pertanian dan industri makanan, menggesa kerajaan menasihatkan pengguna supaya tidak menggunakan kit ujian berasaskan air liur, yang didakwa sering memberikan keputusan palsu.

Semakan kit ujian kendiri

Dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan MDA untuk memanggil semua pembekal kit ujian kendiri Covid-19 di negara ini berikutan aduan yang menunjukkan keputusan yang meragukan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penilaian juga akan dibuat ke atas kit ujian yang meragukan di pasaran untuk menentukan tiada penurunan kualiti sejak ia diluluskan sehingga sekarang.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada KKM sehingga 10 Mac, 125 kit ujian kendiri Covid-19 telah diberikan kelulusan bersyarat oleh MDA.

Alexander juga berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk mengkaji semula harga siling untuk kit ujian kendiri.

Harga siling ditetapkan pada RM19.90 setiap kit manakala RM16 untuk pembelian borong.