Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hadi patut rujuk Muhyiddin pasal Islam di Johor - Veteran Umno

PRN JOHOR | Presiden PAS Abdul Hadi Awang patut merujuk Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai amalan Islam di Johor, kata Pengerusi Veteran Umno Johor Othman Jais.

Bertentangan dengan dakwaan ahli parlimen Marang itu, Othman Jais berkata rata-rata rakyat Johor akan diajar secara rasmi asas Islam dari kanak-kanak dengan budaya menghadiri sekolah agama yang telah menjadi institusi.

"Hadi kalau nak buat kenyataan lebih baik rujuk Muhyiddin dulu bekas menteri besar Johor.

“Kalau Muhyiddin rasa tak ingat tanya mantan exco agama Thosrin Jarvanthi," kata Othman pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno negeri di Johor Bahru.

Hadi pada Isnin dilaporkan mendakwa kegagalan PAS mencapai kejayaan di Johor kerana kurangnya kesedaran tentang politik Islam di Johor, berbanding negeri seperti Kelantan dan Terengganu di mana PAS terus memimpin.

Othman (gambar, atas) bekas Adun Buloh Kasap lima penggal, menegaskan kebanyakan orang Melayu di Johor juga mengekalkan kemahiran membaca dan menulis tulisan Jawi.

Ini jelasnya menjadi bukti hasil pendidikan sekurang-kurangnya enam tahun mengikuti pengajian Islam wajib.

"Bangsa Johor boleh tulis Jawi. Jadi kalau kata Johor tidak ada politik Islam kita tak boleh terima

"Dakwaan Hadi tidak berasas sama sekali," katanya lagi.

Ditanya jika Hadi perlu memohon maaf atas kenyataan itu, Othman berkata dia mengharapkan tindakan sedemikian apabila sesama Islam melakukan kesilapan.

"Kalau tidak mahu minta maaf, nampak bongkak sangat lah," tegasnya.

Othman juga berkata sebahagian besar orang Melayu dan penganut Islam di Johor menolak PAS kerana parti itu didakwa menggunakan Islam untuk politik.

Dia mengingatkan mengenai "Amanat Haji Hadi" pada 1981 yang dikatakan membawa perpecahan antara masyarakat dan keluarga, susulan persaingan merebut sokongan orang Melayu antara PAS dan Umno.

"Kalau dia boleh bagi contoh elok mungkin kita boleh ikut...

"Kelantan Terengganu Kedah sekarang ditadbir PAS, apa dia buat?

"Sebab tu di Johor, negeri-negeri sebelah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka lebih cuba ikut sistem pendidikan Johor.

"Kalau kita buat elok orang ikut," jelasnya.

Sebarang kerjasama pilihan raya rasmi antara Umno dan PAS melalui gabungan Muafakat Nasionalnya telah ditamatkan secara rasmi.

Walaupun bersama-sama berkongsi kuasa dalam Kerajaan Persekutuan, hubungan dua parti itu kelihatan tegang menjelang pilihan raya Johor

PAS sejak itu memilih untuk kekal bersama PN yang diterajui Muhyiddin, melupakan 'sementara' kerjasama dengan Umno dan BN.

[Baca berita asal]