Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM sebenarnya tak yakin BN menang di Johor, kata Anwar

PRN JOHOR | Ketua Pembangkang mempersoalkan keyakinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk BN memenangi pilihan raya negeri Sabtu ini ekoran langkah kerajaan hanya sedia membuka sempadan antarabangsa pada 1 April.

"Jika tidak yakin dia tidak boleh menjadi perdana menteri," kata Anwar kepada pemberita di Gambir ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ismail Sabri hari ini.

Ismail Sabri pada Isnin dilaporkan berkata BN mempunyai peluang yang baik untuk memenangi majoriti dua pertiga dalam DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi.

Anwar bagaimanapun berkata Ismail Sabri mungkin kurang yakin kerana jika tidak, sempadan akan dibuka semula tepat pada masanya untuk membolehkan rakyat Malaysia di Singapura pulang dan mengundi pada 12 Mac nanti.

“Sekiranya dia benar-benar yakin, apakah perbezaan dua minggu ini?

"Perdana menteri sebenarnya tak yakin. Jika Ismail Sabri benar-benar yakin dengan kekuatan BN, dia boleh membuka semula sempadan sebelum 1 April untuk membolehkan rakyat membuat keputusan," kata Anwar.

Malaysia dan Singapura pada masa ini mengamalkan sistem Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL) yang kekal tetapi peraturan baru sedang digubal untuk penumpang harian merentasi sempadan kedua-dua negara..

Mengikut syarat ujian Covid-19 yang dilonggarkan, semua penggembara antarabangsa masih perlu menjalani ujian prapelepasan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, dan ujian semasa ketibaan sebaik sahaja tiba di negara ini.

Bagaimanapun, mereka tidak perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan mereka, dan ujian antigen (RTK-Ag) yang dijalankan secara profesional pada hari ketiga dan kelima.