Loke balun ponteng parlimen, Wee jawab 'relakslah bro'
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke membidas penggantinya, Wee Ka Siong kerana tidak hadir di Dewan Rakyat untuk menjawab soalan mengenai sistem ujian memandu automatik (e-Testing).
"Yang pertamanya saya nak tanya YB timbalan menteri, sama ada YB menteri pengangkutan ini terlalu sibuk berkempen di Johor sehingga lupa tugas hakiki untuk menjawab soalan di parlimen.
“Ponteng parlimen pada pagi ni," kata ahli parlimen DAP itu.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata dia juga turut berkempen di Johor tetapi pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi tadi untuk menghadiri sidang parlimen.
"Setiausaha dewan rakyat ingatkan saya datang awal hari ni.
"Ini tanggungjawab kita sebagai ahli parlimen, tanggungjawab menteri untuk jawab soalan di parlimen, bukan sibuk berkempen saja,” katanya dalam soalan tambahan kepada timbalan Wee, Henry Sum Agong.
Menyifatkan kenyataan Loke sebagai isu politik, Henry enggan menjawab sebaliknya mengatakan bahawa Wee mempunyai komitmen penting.
"Komitmen dalam Yong Peng," balas Loke merujuk kepada usaha MCA untuk merampas kerusi DUN daripada DAP dalam pilihan raya akan datang.
‘Relakslah bro’
Menerusi hantaran Facebook kemudiannya, Wee menjelaskan sebab ketidakhadirannya di Dewan Rakyat dan meminta seteru politiknya itu supaya bertenang.
Presiden MCA itu berkata dia melawat sebuah kampung di Johor Bahru untuk meninjau perkembangan terkini Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Baru serta isu perparitan yang dikatakan sebagai punca banjir kilat.
"Semalam, Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah membawa perkara ini kepada saya dan saya berjanji membuat lawatan ke tapak untuk mencari penyelesaian masalah banjir kilat ini.
"Saya juga dengar YB Anthony Loke ‘balun’ saya di Dewan Rakyat pagi tadi kerana soalan beliau mengenai e-Testing dijawab oleh Timbalan Menteri MOT.
"Hari ini bukan sesi waktu pertanyaan Menteri atau MQT (setiap Selesa dan Khamis), ia hanya sesi pertanyaan lisan yang biasa di mana ia boleh dijawab oleh menteri atau timbalan menteri, mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Nampaknya pemimpin DAP ini benar-benar sudah bankrap isu. Apa yang hendak dipertikaikan, saya sendiri telah pun menyemak jawapan tersebut dan timbalan saya mampu menjawab soalan yang diajukan,” katanya.
Presiden MCA itu sekali menegaskan dia melawat Johor Bahru untuk menangani masalah rakyat.
"Saya sekarang ada urusan rasmi di JB melibatkan projek di bawah MOT yang memerlukan perhatian segera.
“Saya turun padang ini pun adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah rakyat. Relakslah bro!" katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai