Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Langkawi akan dapat ahli parlimen baru

Sudah sah sekarang - penduduk Langkawi akan mendapat ahli parlimen baru dalam pilihan raya akan datang.

Hal itu kerana penyandang kerusi parlimen tersebut - Dr Mahathir Mohamad - mengesahkan dia tidak akan bertanding lagi sekali dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Kata bekas perdana menteri itu, dia membuat keputusan tersebut berdasarkan kepada keadaan kesihatan dan usianya.

Usia Mahathir akan mencapai 97 tahun pada Julai ini.

“Saya tak pulih semula lagi, masih lemah, masih tak kuat. Tapi setakat nak pi (pergi) Johor, nak cakap sikit-sikit (untuk berkempen) tu boleh.

"Nak datang ke Langkawi nak kempen sikit-sikit pun, bolehlah. Tapi, saya ingat kita bagi peluang pada orang lain," katanya dipetik Utusan Online hari ini.

Mahathir berkata demikian di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi.

Bagaimanapun Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata pihaknya belum mengenal pasti calon baru untuk kerusi parlimen berkenaan.

"Tapi, kita (Pejuang) nak cari orang lebih muda daripada saya,” katanya lagi.

Pun begitu bekas Mahathir berkata, dia akan tetap terlibat membantu Pejuang dalam PRU ke-15 jika khidmatnya masih diperlukan.

Misalnya tambah bekas ahli parimen Kubang Pasu itu lagi dia boleh memberikan nasihat atau terlibat dalam kempen parti.

"Kalau ada tempat yang saya perlu hadir, saya akan hadir, dan mungkin bercakap sikit untuk membantu kempen calon,” katanya.