Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu SOP, sembilan garis panduan dalam fasa peralihan endemik

Satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan akan dilaksanakan dalam Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata ia merupakan antara tujuh tonggak paling penting di fasa tersebut terutama dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.

Hishammuddin berkata secara asasnya, satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.

"Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepuluh keperluan itu ialah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu adalah menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Seiring dengan Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang mengkehendaki rakyat belajar hidup bersama dengan Covid-19 dan lebih mengutamakan disiplin kendiri, Hishammuddin berkata adalah amat penting untuk semua memahami risiko penularan Covid-19 serta mengamalkan langkah pencegahan.

Beliau berkata susulan itu, sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, menurutnya sembilan garis panduan itu tidak akan dikuat kuasakan sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

"Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan tersebut serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.

Beliau berkata laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

- Bernama