Hukum pesalah muda: Pertimbang aspek psikologi - Pakar
Usianya baru 15 tahun tetapi kini menanggung tuduhan berat jenayah dengan sengaja membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Remaja perempuan ini didakwa membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, antara 7 hingga 9 pagi pada 8 Feb 2022.
Bernama pada 15 Feb lepas melaporkan, remaja perempuan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kemaman dan lebih malang, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Apabila timbul isu buang atau bunuh bayi, berita yang sekian kalinya menggemparkan ini sudah pasti mencetuskan tindak balas masyarakat yang bukan sahaja berasa geram tetapi marah dan kesal, sekali gus dengan sendiri terus mengadili perbuatan si pelaku. Justifikasinya sudah tentu siapa yang boleh menerima perbuatan kejam itu?
Lanjutan daripada kes berkenaan, pada 18 Feb lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertuduhan membunuh terhadap remaja itu, yang didakwa menikam bayinya sehingga mati, masih boleh diteliti dan disemak semula serta menggantikannya dengan pertuduhan lain.
Menurut AGC, pihaknya membuat kenyataan itu selepas mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kes rogol membabitkan remaja berkenaan.
Jabatan itu memaklumkan, remaja terbabit akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).
Di bawah seksyen itu, pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.
Menurut AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.
Jabatan itu turut menyatakan, maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja itu ditangkap, dan tertuduh kemudiannya membuat laporan polis pada 8 Feb lepas. Susulan daripada laporan polis itu, satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan.
Trauma dirogol, tekanan sepanjang hayat
Berkongsi pandangan berhubung perkara ini, pakar psikologi yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli berkata, normalisasi stigma masyarakat melihat remaja ini sebagai individu bermasalah, liar dan jahat kerana tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mengandung di luar nikah dan membunuh bayi).
Namun begitu, beberapa perkara mungkin perlu diperhalusi terutama daripada aspek psikologi sebelum hukuman terhadap remaja itu dimuktamadkan.
“Apa yang dialami oleh remaja ini mungkin rasa keliru, tertekan, emosi yang tidak stabil serta trauma. Trauma dirogol (berdasarkan laporan yang dibuat) dan kemudian hamil, ia memberi tekanan yang amat dahsyat sepanjang hayat. Lebih malang dia juga dituduh membunuh bayi yang dilahirkannya. Rasa takut dan malu dengan orang sekeliling, kemurungan melampau pasti membelenggu diri.
“Saya melihat apa yang dilakukannya (membunuh bayi yang dilahirkan) adalah di luar kewarasan fikiran dan ia bukanlah dilakukan secara ‘suka-suka’. Apa yang dialami oleh remaja itu adalah disebabkan perasaan buntu dan takut yang luar biasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Aishah yang juga pengasas klinik psikologi CPC International yang terletak di Bangi berkata, faktor latar belakang keluarga juga antara yang perlu diberi perhatian termasuk bagaimana remaja itu dibesarkan serta apa yang berlaku ke atasnya sebelum ini, perlu diperincikan.
Menurut beliau, langkah berkenaan bukan bermaksud menidakkan perbuatan salah si pelaku, namun bagi memastikan remaja itu diadili sewajarnya dan tidak semata-mata melihat kepada kesalahan membunuh yang didakwa dilakukannya.
“Apa yang berlaku ini, dia perempuan dan apabila melakukan aktiviti seksual atau dirogol, dia mengandung. Seterusnya apabila melahirkan dan berlaku kejadian bunuh bayi, sudah tentu jadi kes polis dan dia didakwa atas akta tertentu.
“Namun begitu daripada sudut psikologi, ada beberapa perkara yang perlu dikaji sebelum hukuman dijatuhkan. Sekiranya kanak-kanak berumur 15 tahun dijatuhkan hukuman mati, umur 15 tahun tahu apa? Akalnya ‘belum lengkap’ (pemikiran belum matang).
“Kita (masyarakat) perlu bantu dia daripada sudut sahsiah dan emosi. Perkara sudah terjadi dan kita mungkin boleh cari hukuman lain yang lebih sesuai dengan umurnya yang sangat-sangat muda,” jelasnya.
Pendidikan seks komprehensif
Berpendapat pendidikan seks komprehensif penting bagi mengekang gejala sosial seperti buang dan bunuh bayi dalam kalangan remaja, Dr Noor Aishah berkata, golongan itu perlu didedahkan dengan pendidikan seks selamat termasuk aspek perlindungan dan pencegahan hamil.
Dalam konteks ini, ia bukan bermaksud menggalakkan hubungan seks sebelum nikah atau pun bersetuju dengan apa yang dilakukan, namun setidak-tidaknya memberi pendedahan sewajarnya mengenai pendidikan seks.
“Sebagai contoh, remaja yang tinggal di kampung, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman mungkin kurang pengetahuan dan tidak didedahkan mengenai pendidikan seks selamat. Mereka tidak fikir panjang mengenai perlindungan atau pencegahan hamil, yang mereka tahu mengikut emosi dan nafsu semata-mata.
“Justeru apabila berlaku (hubungan seks dan hamil), mereka panik. Tak tahu apa yang perlu dibuat, takut dimarahi keluarga, dicemuh masyarakat dan itu akhirnya yang membawa kepada isu buang bayi dan sebagainya.
“Jika mereka ada pendedahan mengenai perkara ini termasuk maklumat mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu, banyak masalah sosial berkaitan buang bayi mungkin boleh diselamatkan,” katanya, merujuk kepada inisiatif peti pelindung bayi atau ‘Baby Hatch’.
Beliau pada masa sama berkata, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak mereka mengenai batas pergaulan, menjelaskan implikasi buruk yang bakal berlaku sekiranya mereka gagal berbuat demikian serta bersifat terbuka memberi kebebasan tetapi dalam masa sama memantau aktiviti, menjadi contoh terbaik dan menerapkan didikan agama dalam institusi keluarga.
Kenapa si lelaki selalu terlepas?
Sementara itu, pengamal undang-undang, Senator Fadhlina Sidek ketika mengulas mengenai tanggapan perempuan sering kali menjadi mangsa daripada sudut pandangan negatif masyarakat atau pun hukum perundangan, berkata, pada hakikatnya, isu keganasan sering berasaskan gender kerana berlaku ketidakseimbangan kuasa dalam hubungan.
Beliau menjelaskan, impak kepada isu berkenaan bukan hanya melibatkan isu rogol bawah umur, tetapi juga hamil di luar nikah, pembuangan bayi, kesihatan mental, jenayah infantisid (jenayah membunuh bayi atau anak kecil) dan juga perkahwinan kanak-kanak.
Persoalannya ialah mengapa perempuan yang selalu menerima beban hinaan masyarakat dan hukuman, sedangkan si lelaki terlepas?
Dalam menjawab persoalan itu, Fadhlina yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pemberdayaan Keluarga berkata, pengalaman pembabitan dalam NGO yang menguruskan Pusat Bimbingan Remaja Hamil Bayt Al-Rahmah, di Ampang, Selangor, kebanyakan kes rogol di bawah umur dan kehamilan luar nikah tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Pertama, keluarga perempuan dan lelaki tidak membuat laporan polis untuk tindakan. Kedua, ada rundingan untuk kedua-duanya dikahwinkan dengan menganggap kes selesai dan boleh dirahsiakan.
“Ketiga, gadis yang hamil luar nikah akan ditempatkan di rumah perlindungan, tetapi lelaki dilindungi oleh keluarga atau tidak dapat dikesan. Keempat, kadang-kadang ia adalah kes gang rape, jadi trauma pemandiri lebih teruk dan mengambil masa untuk pulih sekali gus mengambil masa juga untuk laporan dan siasatan dibuat.
“Jika mahu ada tindakan, mesti ada laporan polis dan siasatan. Sebab itu kita sebut ia sebagai keganasan berasaskan gender kerana jelas yang tertindas dan menanggung beban impak keganasan tersebut adalah perempuan. Kita memang berharap akan ada tindakan dan lelaki yang terlibat akan dipertanggungjawabkan tetapi akhirnya ia akan kembali kepada mangsa dan keluarga mangsa untuk membuat keputusan,” jelasnya.
Fadhlina menambah, sukar untuk dijelaskan satu persatu mengapa mangsa dan keluarga mangsa enggan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ini kerana setiap mereka mempunyai alasan yang pelbagai termasuk ketakutan, gangguan , aib dan malu, tiada kekuatan ekonomi, masalah perbalahan keluarga, hanya bertumpu kepada isu ‘kahwinkan sahaja’, merayu anak lelaki dilepaskan kerana bimbang masa depan anak jika dipenjarakan kerana merogol, ugutan serta tidak mahu memperbesarkan isu.
“Sebenarnya, ramai ibu bapa yang perlukan sokongan dan bantuan. Kadang-kadang mereka juga tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan dilihat seperti tidak memperjuangkan hak atau nasib anak perempuan mereka. Setiap kes tidak sama dan kita perlu sentiasa memastikan anak perempuan (dalam hal ini) mendapat akses kepada keadilan dan nasib mereka dibela,” jelasnya.
Turut menekankan undang-undang berkaitan rogol di bawah umur cukup jelas, beliau berkata perkara itu diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 375 dan 376) dengan hukuman yang cukup tegas sebagai peringatan kerana mangsa yang terlibat adalah di bawah umur atau masih kanak-kanak (bawah 18 tahun).
“Tidak timbul isu suka sama suka atau persetujuan kerana yang terlibat adalah kanak-kanak di bawah umur yang sewajarnya diberikan perlindungan,” katanya.
Kahwin bawah umur bukan penyelesaian
Diminta mengulas mengenai perkahwinan bawah umur yang dikatakan mampu mengekang gejala sosial dalam kalangan remaja, beliau berpandangan, ia bukanlah ‘jalan keluar’ bagi masalah itu walaupun ada yang berpendapat perkahwinan akan mengangkat martabat perempuan sebagai isteri dan mendapat hak-hak tertentu.
“Dalam konteks perkahwinan kanak-kanak, perkara ini harus diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan isu kebajikan mereka. Naratif yang biasanya melingkari isu perkahwinan kanak-kanak adalah kemiskinan pelbagai dimensi, keciciran pendidikan, hamil luar nikah dan pelencongan sosial serta dakwaan remaja liar dan tidak dapat dikawal.
“Terdapat ibu bapa yang menyangka perkahwinan akan ‘menjinakkan’ anak mereka kerana berharap mereka akan menjadi dewasa dan matang selepas memikul tanggungjawab. Ini hakikatnya adalah pandangan yang menyimpang. Kanak-kanak adalah kanak-kanak. Ada sebab mengapa umur mereka sama ada secara semula jadi atau secara undang-undangnya adalah umur kanak-kanak.
“Pengalaman kami (NGO) menyaksikan kanak-kanak yang berkahwin menjadi mangsa keganasan rumah tangga dua kali ganda daripada wanita dewasa, mengalami isu kesihatan mental, terdedah kepada risiko kematian dan pendarahan ketika melahirkan kerana secara alaminya fisiologi tubuh badan mereka belum bersedia, selain hidup dalam kitaran kemiskinan dan tahap pendidikan yang rendah,” katanya.
Berpandangan peranan memperkukuh ekosistem sosial tidak terletak kepada sesebuah institusi keluarga semata-mata, beliau berkata seluruh masyarakat di setiap peringkat perlu memainkan peranan masing-masing
“Apabila berlaku isu keruntuhan atau kerapuhan institusi keluarga yang melibatkan anak-anak, ibu bapa paling teruk dikecam. Mentaliti ini perlu diubah kerana ramai ibu bapa yang memerlukan bantuan dan sokongan apabila berlaku kejadian pelencongan sosial yang melibatkan anak-anak mereka.
“Kita sebagai ahli masyarakat mesti memainkan peranan dengan lebih efektif dalam konteks membina dan memperkukuhkan ekosistem sosial yang selamat dan saling menyokong,” katanya.
Untuk itu, Fadhlina mencadangkan program literasi dan kesedaran serta advokasi berkaitan keganasan berasaskan gender perlu diperhebat di samping kewajipan bersekolah perlu untuk semua kanak-kanak agar tiada yang tercicir dan tidak mendapat hak pendidikan.
(Disunting oleh Melati Mohd Ariff)
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai