Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Khalid: Amanah bersama DAP kerana matlamat yang sama

Pemimpin Amanah Khalid Samad berkata PAS perlu memperbetul matlamat politiknya terlebih dahulu sebelum mengajak parti itu bersama mereka.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam mendakwa matlamat politik PAS kini tidak jelas kerana masih bersama-sama "penyamun dan perompak".

Membangkitkan hubungan dengan DAP, dia berkata Amanah bersama DAP kerana matlamat politik yang sama iaitu menentang rasuah dan mahukan tadbir urus negara yang baik.

"Kalau nak ke destinasi sama walaupun niat mungkin berbeza, kita boleh naik bas sama.

"Begitulah kami dengan DAP, kami ingin matlamat politik sama, bebas rasuah, tadbir urus negara yang baik.

"PAS apa destinasi politiknya? Betulkan dulu destinasi politik kamu sebelum jemput kami," katanya ketika membahas titah Yang ldi-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.

Pada 9 Dis lalu, media melaporkan PAS bersedia untuk menerima Amanah menyertai Muafakat Nasional (MN) jika parti itu tidak bersama dengan DAP dalam PH.

Menurut Naib Presidennya, Mohd Amar Nik Abdullah, sama seperti yang berlaku kepada Bersatu, PAS menerima penyertaan parti berkenaan dalam MN selepas parti serpihan Umno itu tidak lagi bersama PH.