Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Projek tebatan banjir KL tertangguh lagi kerana isu kontraktor

Tarikh siapnya projek tebatan banjir di Kuala Lumpur yang dijangka siap tahun ini ditangguhkan lagi dan dipanjangkan ke 2024 kerana masalah kontraktor.

Penagguhan itu berlaku ketika banyak kawasan di ibu kota dilanda siri banjir kilat dalam tempoh tiga bulan dengan kejadian yang terbaru petang semalam.

Pelan tebatan banjir Sungai Bunus dilaporkan bermula seawal 2013 dengan membabitkan enam kolam tampungan banjir dan satu lencongan banjir.

Enam daripada elemen itu disiapkan secara progresif sejak 2015, tetapi kolam penampung banjir terakhir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur masih dalam proses pembinaan.

Pada Feb 2021, Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Wilayah Persekutuan mendedahkan projek kolam tadahan banjir Pulapol itu mengalami kelewatan selepas kontraktor asal digantikan kerana gagal mematuhi syarat kontrak.

Pada masa itu, projek berkenaan sudah 66 peratus siap, dan JPS Wilayah Persekutuan memberi jaminan bahawa kontraktor baru akan dilantik menjelang Jun tahun lalu.

Dengan itu projek berkenaan dijangka akan siap menjelang Jun tahun ini.

Bagaimaa pun, nampaknya sasaran itu sekali lagi tidak akan tercapai.

Susulan banjir kilat yang melanda ibu kota semalam, Menteri Air dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek tebatan banjir Sungai Bunus adalah satu daripada dua yang hanya akan siap pada 2024.

“Terdapat beberapa projek yang belum disiapkan termasuk dua projek dijangka siap pada 2024.

“Isu itu sudah selesai selepas bertukar kontraktor,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian semalam.

Kata ahli parlimen Kubang Krian itu lagi projek tebatan banjir lain yang masih dalam kerja-kerja pembinaan adalah di Sungai Batu.

Banjir kilat di Lembah Klang semalam melanda beberapa jalan utama dan menenggelamkan pelbagai jenis kenderaan, selain begitu ramai orang terperangkap dalam lalu-lintas.

TNB juga terpaksa menutup stesen janakuasa di 40 kawasan.

Menjelaskan kejadian itu, Tuan Ibrahim berkata, taburan hujan luar biasa selama dua jam menjadi punca banjir kilat.

[Baca berita asal]