Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN Johor: Penceramah kini tak perlu pakai pelitup muka

PRN JOHOR | Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Johor kini membenarkan penceramah untuk membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah atau syarahan semasa berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP pencegahan Covid-19 terkini itu malam tadi, yang dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut SOP terbaru itu, penceramah perlu terus memakai semula pelitup muka selepas selesai menyampaikan ceramah atau syarahannya.

Berdasarkan SOP berkenaan, semua yang hadir ceramah, syarahan atau kempen, hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu.

Bagi aktiviti mesyuarat parti, SOP itu menyatakan semua individu yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa, dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, selain aktiviti bersalaman adalah dilarang.

“Pindaan pada SOP pencegahan Covid-19 itu berkuat kuasa serta merta,” menurut SPR yang berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan, etika kempen serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac dengan pengundian awal akan berlangsung esok (8 Mac).

-Bernama