Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hujan lebat berterusan, beberapa kawasan di Perak banjir kilat

Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan di Perak dinaiki air dan dilanda banjir kilat, hingga ratusan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata di daerah Hilir Perak, seramai 18 mangsa daripada empat keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak, berikutan kediaman mereka di Batu 7 1/2 Jalan Changkat Jong dinaiki air tengah hari tadi.

“Air sudah mula naik sejak semalam disebabkan hujan berterusan, namun paras air tidak terlalu tinggi sehinggalah hujan lebat pagi tadi menyebabkan air semakin naik, malah sehingga kini masih belum surut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Ismail berkata cuaca di Teluk Intan ketika ini masih hujan, dan pihaknya masih giat menjalankan pemantauan di kawasan banjir serta PPS berkenaan.

Sementara itu, di daerah Muallim, seramai 168 daripada 26 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khair Johari, berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat di Kampung Berop, Behrang petang ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Muallim dalam kenyataan berkata pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, sedang melakukan pemantauan di kawasan banjir yang masih belum surut setakat pukul lapan malam ini.

Katanya paras air di Sungai Kampung Berop juga dilaporkan semakin meningkat, ditambah dengan cuaca yang masih hujan.

Pihak JBPM juga melakukan pemantauan di kawasan jalan raya berhampiran Taman Segar yang dinaiki air, hingga menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa bergerak perlahan.

-Bernama