Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Joget konsert Riuh Ek': GLC minta maaf, perjelas dah cuba surai hadirin

Sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penganjur konsert di Johor yang menyaksikan hadirin berjoget beramai-ramai dalam iringin muzik memohon maaf atas insiden itu.

MyCreative Ventures Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, berkata joget itu berlaku "secara spontan" dalam kalangan hadirin dan penganjur telah mengambil tindakan segera untuk menghalang mereka.

“Arahan jelas telah diberikan kepada syarikat pengurusan acara bahawa prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan perlu dipatuhi sepenuhnya bagi memastikan keselamatan semua hadirin.

“Insiden (berjoget) malam itu dilakukan secara spontan oleh penonton konsert, dan bukan sebahagian daripada rancangan acara itu.

“Bagaimanapun, penganjur bersama kakitangan Rela telah mengambil tindakan segera untuk menyuraikan mereka yang terlibat dan menyuruh mereka meninggalkan tempat tersebut supaya SOP dapat dipatuhi,” kata syarikat itu pada satu kenyataan hari ini.

Jelas GLC itu lagi, kejadian tari-menari berlaku selepas acara itu berakhir dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa telah meninggalkan tempat itu.

Menurut MyCreative Ventures, pihaknya telah dihubungi oleh polis dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka.

Konsert Riuh Ek telah diadakan di Ayer Hitam pada Jumaat lepas (4 Mac). Namun, selepas itu beberapa klip video dan gambar acara itu telah menjadi tular, menunjukkan orang ramai berjoget tanpa penjarakan sosial.

Dalam klip acara itu menunjukkan para hadirin berjoget dengan alunan versi remix muzik dangdut "Yang Penting Happy" oleh Jamal Mirdad, yang telah tular di Twitter, Facebook dan TikTok.

Pihak polis memaklumkan telah melancarkan siasatan mengenai perkara itu.