Muda janji teruskan manifesto sama ada bersama k’jaan atau tidak
PRN JOHOR l Muda hari ini melancarkan lima perkara utama dalam manifesto Tekad Muda, dengan menawarkan penyelesaian dalam isu pengangguran dan rumah mampu milik di negeri itu.
Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata wakil parti berjanji untuk meneruskan cadangan mereka, sama ada sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan PH yang baru atau sebagai pembangkang.
“Manifesto ini dan PH tidak mempunyai perselisihan antara satu sama lain.
“Contohnya mengenai peruntukan sama rata untuk semua Adun, undang-undang anti lompat parti, saya rasa prinsip ini senada dengan kedua-dua manifesto PH dan Muda," kata Amira, yang juga calon Muda untuk Puteri Wangsa.
“Jika kita dalam kerajaan, kita akan berbincang untuk memasukkan janji kita sebagai sebahagian daripada agenda negeri.
"Tetapi pada masa yang sama, jika kita menjadi pembangkang, kita akan mendesak kerajaan untuk menangani isu-isu itu," katanya.
Lima janji utama Muda ialah:
Kepimpinan Bertenaga & Pantas
Mengamalkan Demokrasi Pro Rakyat
Membela Golongan Pertengahan (M40)
Merapatkan Jurang Kelas Masyarakat
Kemajuan Ekonomi Untuk Semua
Menyedari bahawa cadangan-cadangan tersebut memerlukan perubahan dasar jangka panjang, Amira berkata Muda mensasarkan supaya kemajuan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.
Enam daripada tujuh calon Muda, termasuk calon Tenang, Lim Wei Jiet hadir di pusat operasi di Puteri Wangsa, dengan masing-masing bergilir-gilir menyatakan lima janji utama parti itu.
Mengenai isu perumahan, cadangan Muda termasuk supaya kerajaan negeri baru mengadakan rundingan dengan pemaju hartanah tidak terjual di Johor.
Calon Muda N22 Parit Raja Fikri Musa berkata cadangan itu akan menyaksikan kerajaan negeri membeli hartanah tidak terjual secara pukal daripada pemaju swasta dan menjualnya semula kepada orang ramai pada harga diskaun.
“Kami mensasarkan rumah untuk mereka yang berada dalam kategori M40 dan B40,” katanya.
Pada masa sama, Muda turut mencadangkan untuk mengenakan “denda rumah kosong” ke atas hartanah yang ditinggalkan kosong atau tidak dijual untuk suatu tempoh masa.
Bagi menangani isu pengangguran, calon Muda bagi Larkin Rasid Abu Bakar berkata parti itu antara lain mencadangkan insentif kepada syarikat tempatan yang mengambil pekerja Johor.
Dia berkata keutamaan boleh diberikan kepada syarikat yang berkelayakan dan beroperasi di Johor, termasuk yang terlibat dalam projek berkaitan kerajaan negeri.
Secara keseluruhannya, Amira berkata Muda bertujuan untuk menambah baik amalan demokrasi melalui pembentukan Majlis Rakyat, mencari penglibatan awam untuk membantu wakil rakyat membuat keputusan yang lebih baik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai