Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Silap biru' - Shahrir sindir Hamzah 'tersesat' ke majlis BN

PRN JOHOR | Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Shahrir Samad menyindir Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang berasal dari Perikatan Nasional (PN) selepas dia tersilap hadir ke majlis BN.

Shahrir, yang berada di majlis BN, berkongsi gambar Hamzah di Facebook sedang bernaung dengan payung BN ketika tiba dalam hujan lebat di Larkin, Johor petang semalam.

"Ketika kami mengadakan pertemuan BN JB dengan YB Dato Sri Reezal Marican di Flat Garuda (Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda), Larkin, orang kuat PN tersesat ke tempat pertemuan kami," kata Shahrir.

Shahrir berkata setiausaha agung Bersatu itu sepatutnya hadir pada majlis berbeza di tempat berhampiran.

"Namun, kerana dua kemungkinan, YB Dato Hamzah Zainudin tersesat.

"Pertama, info Polis tersilap diberi kepada pilot.

"Kedua, rombongan Hamzah Zainudin masih teruja sangat oleh majlis 'enjoy-enjoy' di Austin Hills," katanya lagi.

Shahrir turut melampirkan gambar Hamzah menghadiri majlis makan malam ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat Cina di Austin Hill di Johor Bahru Jumaat lalu.

Pada acara itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian yang telah menimbulkan kontroversi dengan PAS, rakan kongsi Bersatu yang lebih konservatif.

Ahli Parlimen PAS Khairuddin Aman Razali meminta penganjur majlis makan malam itu memohon maaf kerana mempamerkan persembahan tarian itu kepada pemimpin Islam di PN.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang turut menghadiri majlis makan malam Jumaat lepas, telah meminta masyarakat Cina supaya tidak takut dengan PAS, mendakwa mereka tidak meneruskan agenda hudud selepas menyertai kerajaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man enggan mengulas komen Muhyiddin.

Majlis itu diadakan bersempena dengan pilihan raya Johor. Kempen dimulakan pada 26 Feb dan rakyat Johor akan mengundi pada 12 Mac.

BN, yang diketuai oleh Umno, mempunyai warna biru tua untuk logonya manakala PN, yang dipimpin oleh Bersatu, mempunyai warna biru yang lebih terang. Secara kebetulan, kedua-dua Umno dan Bersatu mempunyai warna merah sebagai warna parti mereka.

Muhyiddin sedang berusaha untuk menggantikan BN sebagai gabungan pentadbiran yang baru.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berulang kali menempelak Bersatu dan PN yang didakwa "mencuri" warna mereka.