Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Tiada potong-potong tapi PAS masih ekstrem' - Kata Lim pada Muhyiddin

PRN JOHOR | PAS mungkin telah melunakkan pendiriannya mengenai hudud selepas menyertai kerajaan persekutuan tetapi terdapat contoh 'ekstremisme yang menjalar', kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dia mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kelmarin yang memberitahu majlis makan malam dengan masyarakat Cina bahawa mereka tidak perlu takut tentang PAS kerana parti Islam itu tidak bercakap tentang "potong, potong" (chop) dalam rujukan jelas kepada hudud yang termasuk hukuman amputasi.

PAS ialah rakan gabungan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), bersama Gerakan, Star dan SAPP.

“Muhyiddin telah menggesa rakyat menyokong mereka kerana PAS tidak (bercakap mengenai) potong sini dan tidak potong sana, tidak potong tangan dan potong kaki, tidak menuntut hudud.

“Tetapi kita boleh lihat PAS masih melampau,” kata Lim pada sidang media di Batu Pahat semalam.

Dia memetik larangan loteri di negeri Kedah pimpinan PAS serta insiden perobohan kuil Hindu di negeri itu.

Ahli parlimen Bagan itu juga berkata Wilayah Persekutuan kini juga menghadapi peraturan pelesenan minuman keras yang lebih ketat.

“Ini dasar yang dianjurkan oleh PAS berikutan parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Lim turut menimbulkan kebimbangan mengenai kaitan penglibatan PAS bersama Taliban, berkata keutamaan harus diberikan kepada membantu rakyat Malaysia.

Oleh itu, kata Lim dia yakin golongan minoriti tidak akan menyokong PN.

Isu dana Taruc

Pengerusi PN itu juga sebelum ini mengkritik Lim selepas menghentikan pembiayaan awam terhadap Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc) ketika menjadi menteri kewangan bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020.

Sebagai menteri kewangan ketika itu, Lim telah mengurangkan pembiayaan Taruc milik MCA daripada RM5.5 juta kepada RM1 juta pada 2020 tetapi berkata dia bersedia untuk meningkatkan pembiayaan mereka kepada RM30 juta jika parti politik itu melepaskan kawalannya.

Lim mempersoalkan minat mendadak Muhyiddin dalam isu itu.

"Muhyiddin mendakwa saya memotong pembiayaan kepada Taruc yang merupakan satu pembohongan. Dia juga tidak pernah menyebut Taruc sepanjang berada dalam kabinet tetapi kini telah tunjukkan minat dalam perkara itu," kata Lim.

Muhyiddin ialah menteri dalam negeri ketika era pentadbiran PH itu.

Bekas menteri kewangan itu berkata dia akhirnya meningkatkan pembiayaan Taruc kepada RM45 juta tetapi telah menyalurkannya melalui persatuan alumninya kerana dia tidak mahu parti politik mendapatkan dana itu.

Guan Eng tolak cabaran Wee berdebat

Mengenai cabaran Presiden MCA Wee Ka Siong untuk berdebat, ahli parlimen DAP itu berkata dia tidak mengikuti perkara itu dan mengarahkan pertanyaan itu kepada Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Pada 25 Feb, Wee mencabar Teo, bekas timbalan menteri pendidikan, untuk berdebat mengenai isu pendidikan Cina.

Teo segera menerima cabaran itu tetapi Wee kemudian mengalihkan perhatiannya kepada Lim, meminta sebaliknya untuk berdebat dengan setiausaha agung DAP itu.

Wee mendakwa cabarannya kepada Teo hanyalah sekadar untuk 'mengumpan' Lim.

Teo berkata Wee perlu berdebat dengannya berdasarkan cabaran asalnya dan bukan bertindak 'mengalihkan tiang gol'.

Debat itu dijangka berlangsung hari ini di Johor Bahru.

[Baca berita asal]