Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM: Sempadan negara akan buka semula tak lama lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah ini membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

Beliau berkata bagi membolehkan pergerakan keluar masuk antara Brunei dan Thailand, kerajaan juga sedang dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bersama kedua-dua negara.

Berucap merasmikan pelancaran siri pertama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di Johor Bahru hari ini, Ismail Sabri berkata langkah itu sebagai menambah laluan VTL sedia ada melibatkan Singapura dan Indonesia yang masih dalam perancangan.

“Bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, Kerajaan Persekutuan melaksanakan skim VTL udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Jan lepas bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan seramai 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik antara Singapura dan Johor.

"Mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.

Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet semalam sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri.

Sementara itu, Ismail Sabri yang berkunjung ke reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersempena Jelajah AKM turut berkesempatan melancarkan kibar mula Malaysia Techlympics 2022.

Ia adalah satu inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi bagi memupuk penciptaan idea berinovasi selaras dengan agenda Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi seiring hasrat Mosti untuk ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi.

Bertemakan ‘Connect, Compete, Celebrate,’ bermula dari Mac hingga November 2022 Mosti menganjurkan 25 pertandingan di bawah lima kategori utama yang tertumpu kepada beberapa bidang antaranya kejuruteraan, pengkomputeran dan mikrokomputer, nano, Internet benda, robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif serta animasi selain pencetakan dan pembangunan tiga dimensi,

Menurut kenyataan Mosti, pada penghujung Malaysia Techlympics, sekurang-kurangnya 2,000 idea atau prototaip yang inovatif, kreatif dan futuristik bertaraf dunia bakal dihimpun selaras dengan agenda ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

- Bernama