Azmin: PN ikrar pentadbiran bersih rasuah jika diberi mandat di Johor
PRN JOHOR | Perikatan Nasional (PN) berikrar akan mengubah landskap pentadbiran Negeri Johor yang berintegriti dan bebas rasuah sekiranya diberi mandat sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu kali ini.
Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ikrar itu adalah janji pertama PN kepada Bangsa Johor dan ia penting dalam pembangunan ekonomi di negeri berkenaan.
“Itu tujuan pertama PN membentuk sebuah kerajaan, iaitu kerajaan yang berintegriti dan bersih rasuah.
"Perkara ini sekali gus dapat menarik keyakinan pelabur asing, meningkatkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.
“Saya percaya landskap pemerintahan ini dapat mengangkat Johor sebagai negeri utama penyumbang ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di Program Santai Anak Muda di Kluang hari ini.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata prestasi perdagangan serta pelaburan negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan semasa pemerintahan PN pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN.
Justeru, beliau berkata perkara itu menjadi ‘kad laporan cemerlang’ bagi PN disokong untuk menjadi kerajaan oleh rakyat Johor pada PRN kali ini.
“Maka atas rekod ini, masyarakat Johor wajar memberi peluang kepada PN untuk mentadbir Negeri Johor,” katanya.
PN yang melibatkan gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan bertanding di semua 56 kerusi pada PRN Johor kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai