Harga minyak sawit: PH anggap kenyataan calon BN 'jahil'
PRN JOHOR | Penyandang kerudi DUN Paloh, Sheikh Omar Ali, membalas kritikan pencabarnya dari BN, Lee Ting Han, yang mendakwa harga minyak sawit kembali melonjak tinggi semula selepas Kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan.
Dalam kenyataannya hari ini, Sheikh Omar berkata, harga minyak sawit melambung tinggi disebabkan keputusan Indonesia untuk mengurangkan eksport komoditi mereka itu bagi memberi tumpuan kepada penggunaan domestik, khususnya untuk biodiesel.
Selain itu, katanya, masalah kekurangan pekerja di Malaysia juga membawa kepada pengurangan pengeluaran minyak sawit yang kemudian mengakibatkan kenaikan harga.
"Jika Lee mahu membantu penanam sawit di Johor - khususnya di Paloh - dia sepatutnya meminta kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan tidak mengeluarkan kenyataan jahil," kata Sheikh Omar.
Bekas exco kerajaan Johor itu menambah, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi harga komoditi itu dalam pasaran dunia, seperti masalah akibat pandemik Covid-19, cuaca dan lain-lain.
Lee, dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, menyalahkan pentadbiran PH sebelum ini dengan mendakwa harga minyak sawit rendah pada ketika itu. kononnya disebabkan cara mereka mengendalikan kempen boikot dari negara asing.
Dia juga mendakwa apabila Hishammuddin Hussein dari BN mengambil alih jawatan menteri luar, barulah harga minyak sawit pulih.
Harga minyak sawit global telah menurun sejak 2011 sebelum mencecah paras terendah sekitar AS$450 (RM1,890) setan pada 2018 berikutan kempen yang semakin meningkat terhadap minyak sawit di Eropah atas kebimbangan isu alam sekitar.
Malaysia dan Indonesia mengeluarkan 90 peratus daripada minyak sawit dunia - minyak makan yang paling biasa.
Harga purata minyak sawit mentah (MSM) ialah RM4,430 setan pada 2021, dan berbanding RM2,781 pada 2020.
Persaingan untuk kerusi DUN Paloh menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan PH, BN, PN dan Pejuang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai