Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Situasi tegang antara ahli PN dan pemerhati SPR di ceramah

PRN JOHOR | Ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar malam tadi menyaksikan ketengan antara penganjur dengan pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beberapa pegawai pemerhati SPR telah berjumpa dengan penganjur kira-kira jam 10 malam berhubung permit ceramah, yang bertujuan untuk ceramah agama tetapi telah bertukar menjadi ucapan politik.

Ceramah itu diadakan di sebuah resort di Parit Keroma Laut yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, dari PAS bersama-sama calon parti itu Abdul Azzi Talib yang bertanding di kerusi Maharani.

Ahli PN tidak menafikan isu permit itu sebaliknya meminta pemerhati SPR, yang memakai jaket kuning berlogo SPR, untuk mengesahkan identiti mereka.

Kumpulan itu memakai topi dengan label "PP-KPR" yang bermaksud “pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya”.

Apabila mengetahui salah seorang anggota mereka menggunakan tanda nama SPR orang lain, ahli PN menuduhnya menipu dan mengugut untuk melakukan penahanan.

PN tidak menggangu anggota pemerhati yang lain setelah masing-masing mempunyai tanda nama sendiri.

Ini mendorong Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Mohd Abdullah campur tangan, meminta ahli partinya membenarkan kumpulan itu keluar dan membuat laporan polis kemudian.

Walau bagaimanapun, sekumpulan 20 individu telah berkumpul, dan mereka enggan membenarkan individu yang mempunyai tanda nama yang bukan miliknya untuk beredar dari situ.

Ahli kumpulan SPR yang lain menjelaskan bahawa dia menggunakan tanda nama yang dipinjam kerana tanda namanya sendiri belum siap, tetapi ahli PN tidak membenarkannya beredar, menegaskan bahawa dia perlu menunggu sehingga polis tiba.

Mengikut peraturan SPR, pasukan penguat kuasa SPR bukan sahaja terdiri daripada pegawai SPR, polis dan wakil majlis tempatan tetapi juga pemerhati yang dilantik daripada kalangan wakil parti politik dan calon.

Ahli-ahli PN juga kedengaran berbincang sama ada orang yang mempunyai tanda nama yang dipinjam itu adalah wakil daripada Pejuang atau BN.

Sepasukan anggota polis kemudian tiba di tempat kejadian dan menasihatkan kedua-dua kumpulan itu supaya tidak memperbesarkan keadaan sebelum menyuraikan mereka.

Mohd Rafiq ketika ditemui Malaysiakini kemudian berkata mereka akan mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang PN.

“Kejadian ini berlaku apabila seorang pemerhati SPR didapati menggunakan tanda nama orang lain.

"Bagaimanapun, kami telah menyelesaikan perkara itu secara aman. Dan kami akan memutuskan sama ada akan membuat laporan polis atau tidak," katanya, sambil menambah bahawa dia mahu pihak yang berkempen berwaspada untuk mengelak situasi "penipuan" berulang.

Abdul Aziz dari PAS, yang bertanding di bawah gabungan PN, berdepan saingan lima penjuru di DUN Maharani.

Pesaing lain ialah Nor Hayati Bachok dari Pakatan Harapan yang merupakan penyandang kerusi itu, Hanis Asmui dari Parti Bangsa Malaysia, Riad Ahmad dari Pejuang, Noor Farah Shamsudin Dari BN serta seorang calon Bebas Lim Kim Joo.

Pada pilihan raya umum 2018, Nor Hayati memenangi kerusi Maharani dengan majoriti 5,674 undi.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 26 Feb. Hari mengundi pada 12 Mac.