Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Salahuddin tetap yakin walau ada pengundi tak tertarik isu antirasuah

PRN JOHOR | Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengakui sesetengah pengundi tidak begitu tertarik dengan isu antirasuah yang dibawa pembangkang namun dia tetap yakin jumlah mereka bukan majoriti.

Ia di saat bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabit bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah, menerima sambutan baik ketika berkempen untuk BN.

“Tidak semua menyokong perjuangan kita. Masih ada yang sokong dia (Najib).

"Tetapi saya yakin majoriti rakyat akan menolaknya,” katanya ketika ditemui di Simpang Jeram, Muar tengah hari ini.

Salahuddin berkata yang “Bangsa Johor”, istilah yang digunakan untuk merujuk penduduk Johor, mengutamakan integriti dan akan menolak pemimpin yang korup.

“Bangsa Johor berpegang kepada integriti. Johor juga negeri yang kuat, yang pertama mendapat pendidikan, sistem tadbir urus berbanding negeri lain.

“Jadi saya yakin mereka pasti akan menolak pemimpin seumpama itu, yang telah merompak wang tetapi masih boleh buat kemunculan awam macam dia tak buat salah apa-apa,” katanya.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Pulai mengakui dia berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan kemenangan di Simpang Jeram.

Katanya, kemenangannya dan calon PH lain akan bergantung kepada peratusan keluar mengundi.

Justeru, katanya, semua rakyat Johor yang layak mengundi perlu membuat pilihan mereka.

Dia berkata penyokong PH perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam PRN Melaka.

“Kita perlu memahamkan pengundi yang pilihan raya ini sangat penting.

"Ini adalah pilihan raya negeri yang akan memberi mandat lima tahun kepada kerajaan seterusnya untuk mentadbir negeri.

"Jadi saya harap pengundi yang tinggal di luar Johor akan pulang mengundi,” katanya lagi.

Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.