Bersih kecam BN guna dewan serba guna jadi bilik gerakan
Badan pemantau pilihan raya Bersih mengecam BN kerana menjadikan dewan serba guna di Felda Nitar 1 di Mersing, Johor, sebagai bilik gerakan DUN Tenggaroh.
Namun calon BN bagi DUN itu, K Raven menegaskan mereka telah mendapat kebenaran untuk menggunakannya.
Bersih membangkitkan kemungkinan berlaku salah guna kemudahan awam oleh gabungan itu.
“Kami berpandangan dewan serba guna tidak boleh ada mana-mana sepanduk atau bendera parti.
“Ini adalah salah guna kemudahan awam,” kata Pengerusi Bersih Thomas Fann kepada Malaysiakini.
Fan berkata pengecualian boleh dibuat jika BN menyewa dewan tersebut.
Ketika ditanya berkenaan perkara itu, Raven berkata dia tidak pasti kerana ia diaturkan oleh Umno. Raven adalah calon daripada MIC.
Namun dia menegaskan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) - yang dilantik kerajaan negeri - telah memberi kebenaran kepada BN untuk menggunakan dewan itu.
“Mereka beri kebenaran untuk gunakannya kerana pejabat Umno sudah ada di situ sebelum ini.
“Kami sentiasa gunakannya dan setiap kali kebenaran diperbaharui. Jika kami tak dapat kebenaran, kami tak akan gunakannya,” katanya kepada Malaysiakini.
Raven menjadi Adun Tenggaroh sejak 2013.
Tenggaroh merupakan satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Mersing. Satu lagi DUN adalah Endau.
Raven berdepan calon Perikatan Nasional dari PAS Roslan Nikmat, calon PKR Zulina Johari dan calon Pejuang Mohd Firdaus Abd Rahman.
Semalam, Presiden PKR Anwar IBrahim turut hadir di Felda Tenggaroh 2 yang terletak berdekatan bagi berkempen untuk Zulinah, serta calon PH DUN Endau Mohammad Fakhrul Radzi.
Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai