Mahathir: Johor boleh jadi teladan buat M'sia bersih dari kleptokrat
PRN JOHOR | Dalam surat terbaru dikirimkan Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi, bekas perdana menteri itu berkata keputusan yang akan dicatat pada 12 Mac ini bukanlah sembarangan.
Menurut Mahathir jika majoriti pengundi memenangkan partinya - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) - ia akan menjadi teladan kepada seluruh negara tidak lama lagi.
Terus menekankan isu melawan rasuah Mahathir berkata pada satu sisi ada gabungan parti yang "amat korup dan menghilangkan duit rakyat" namun sudah dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Kumpulan ini dipimpin oleh Najib Razak yang telah dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah. Bersamanya ialah Ahmad Zahid (Hamidi)," katanya.
Mahathir yang juga pengerusi Pejuang menambah, penentang gabungan terbabit ialah partinya - sebuah parti baru yang tidak ada sejarah mencuri duit atau menyalahgunakan kuasa - serta "parti-parti yang kecil."
Berbanding parti lain yang melawan BN dan PN, kata ahli parlimen Langkawi itu lagi, hanya Pejuang yang meletakkan calon mencukupi - seramai 42 orang - untuk membentuk kerajaan negeri tanpa memerlukan sokongan parti lain.
Pejuang juga katanya dipimpin oleh tokoh lama - yang menolak rasuah - bersama pemimpin baru yang juga bersih dari rasuah.
"Jika Pejuang dipilih maka akan berlakulah pertukaran. Dan pertukaran ini adalah daripada yang buruk kepada yang bersih. Negara akan bebas daripada rasuah, sesuatu yang diperjuang oleh Pejuang.
"PRN Johor in boleh jadi teladan dan contoh kepada seluruh negara," katanya.
Menurut Mahathir lagi jika pengundi Johor memilih parti yang menolak amalan rasuah besar kemungkinan keputusan yang sama boleh dilihat dalam PRU ke-15 tidak lama lagi.
Dengan itu, katanya, akan tamatlah kleptokrasi di Malaysia dan dunia pula akan menyaksikan kebangkitan semula Harimau Asia.
"Ini bukan angan-angan. Ini mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia, bermula dengan rakyat Johor.
"la akan menepati sejarah perjuangan orang Melayu 60 tahun dahulu yang menghasilkan Malaysia yang merdeka dan maju.
"Rakyat seluruh negara memerhati PRN Johor. Berilah panduan yang baik kepada mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai