Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saksi nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung, Zizie

Saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad hari ini menafikan dia memberi keterangan bercanggah serta mereka-reka cerita semata-mata untuk menyelamatkan pasangan suami isteri itu.

Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa keterangannya adalah benar.

"Saya tidak berbohong di mahkamah," katanya ketika dipanggil semula untuk disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How selepas dianggap sebagai saksi belot dalam kes pendakwaan.

Bagaimanapun, saksi ke-25 pendakwaan itu bersetuju dengan cadangan Law bahawa terdapat percanggahan berhubung keterangannya di mahkamah dengan rakaman percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar.

Law: Menurut rakaman percakapan SPRM pada 2016, kamu nyatakan wang RM3.5 juta diminta oleh Bung Moktar tetapi ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, kamu maklumkan wang itu tidak pernah diminta olehnya. Adakah kamu setuju kedua-dua keterangan ini adalah bercanggah.

Norhaili: Setuju.

Kepada cadangan Law bahawa dengan memberi keterangan yang bercanggah di mahkamah dan rakaman percakapan, dia adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti.”

Law berkata saksi itu memberi keterangan yang tidak memihak kepada pendakwaan dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti… yang penting, saya bercakap benar.”

Kepada soalan lain, saksi itu berkata semasa dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, dia berada dalam keadaan tertekan dan takut.

"Ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun saya berada dalam unit amanah. Saya sedih dan rasa kemurungan seolah-olah saya bersalah sedangkan saya rasa saya sudah buat perkara yang betul," katanya yang turut memaklumkan SPRM telah mengambil lima rakaman percakapannya bermula dari 2016 hingga 2018.

Norhaili juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa RM2.8 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan.

Pada 27 Jan lepas, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenal suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenal seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

Terdahulu, hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili yang dianggap sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah pada 14 Feb lepas adalah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat oleh SPRM.

Prosiding soal balas terhadap Norhaili akan bersambung pada 18 Mac ini.

Peguam K Kumaraendran mewakili Zizie Izette manakala Bung Moktar diwakili M Athimulan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan lima petang 12 Jun 2015.

Dia juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

-Bernama