Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harap speaker terima usul rujuk Najib ke JK parlimen - Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berharap speaker Dewan Rakyat Azhar Harun akan menerima usul dibawa Ahli Parlimen Damansara Tony Pua bagi merujuk Najib Razak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana dikatakan mengelirukan dewan.

Katanya, adalah menjadi hak ahli parlimen untuk merujuk perkara yang disifatkan sebagai berkepentingan umum tersebut dan kini keputusan terletak di tangan Azhar, sama ada untuk membenarkan usul itu ataupun tidak.

“Perkara ini adalah satu perkara yang dianggap sebagai kepentingan umum yang saya harap akan diterima oleh speaker, fasal ini adalah hak speaker untuk membenarkan ataupun tidak.

“Tapi kerana kenyataan yang Najib buat itu satu kenyataan yang menyelewengkan dan mengelirukan, jadi sebagai ahli parlimen ada hak untuk bangkitkan perkara itu di parlimen dan untuk speaker membuat keputusan apakah yang patut dibuat terhadap kenyataan tersebut,” kata presiden Bersatu itu.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media di Hotel Impiana, selepas Majlis Ikrar dan Tandatangan Calon Perikatan Nasional untuk PRN Johor, yang menyaksikan kesemua calon PN melafaz ikrar dan sumpah antirasuah.

Di parlimen hari ini, Pua mahu Najib dirujuk ke jawatankuasa berkenaan kerana dikatakan mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja semalam, seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 36 (12).

Pua membangkitkan dakwaan kesalahan fakta dalam beberapa isu yang dibangkitkan Najib khususnya mengenai 1MDB, pengambilalihan loji pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.

Antaranya, dakwaan Najib bahawa tiada satu senapun dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah prinsipal hutang 1MDB, yang menurut Pua satu kenyataan “palsu” kerana kerajaan telah membayar sejumlah RM8.8 bilion dan bayaran faedah hutang semasa Najib menjadi menteri kewangan.

Najib semalam meminta kerajaan tidak memberi alasan hutang 1MDB merosakkan kewangan negara, sedangkan hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar pada 2018.

Kata Najib, tiada satu senpun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang pokok 1MDB, memandangkan pelbagai entiti - termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS - telah memulangkan dana 1MDB berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi kesalahan itu.

Semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan meskipun Malaysia belum membayar hutang prinsipal 1MDB sebanyak RM32.3 bilion, negara sedang membayar faedah hutang sebanyak RM6.5 bilion.

Jelas Tengku Zafrul, kerajaan belum membayar prinsipal hutang kerana tarikh matangnya masih lambat lagi, antara 2022 hingga 2039.

Di Facebooknya hari ini, Najib mempertahankan kenyataannya bahawa prinsipal hutang 1MDB sebanyak RM32 bilion itu belum pernah dibayar.

Dia bahkan menempelak kerajaan PH dan PN, bahawa jumlah yang dibayar selama bertahun-tahun lamanya sebelum ini bukanlah hutang RM32 bilion, tetapi hanya bayaran bunga faedahnya sahaja.