Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di Machap aspirasi Muda dicabar sentimen kaum, politik naungan

PRN JOHOR | Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencabar strategi politik konvensional dengan mempertaruhkan calon-calon yang tidak menepati demografi setempat di sesuatu kawasan.

Tegas mereka, apa yang penting adalah khidmat calon yang ditawarkan, bukannya kaum mahupun agama mereka.

Contohnya, peguam berusia 23 tahun, R Sangaran, yang dipertaruhkan sebagai calon Muda di Machap, sedangkan belum pernah ada mana-mana parti politik - baik parti kerajaan mahupun pembangkang - meletakkan calon bukan Melayu di kawasan berkenaan.

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman mempertahankan strategi tersebut.

“Saya mahu menegaskan yang Muda ialah parti berbilang kaum yang memberi fokus terhadap nilai dan khidmat tanpa mengira sama ada mereka itu Melayu, Cina atau India. Asalkan mereka mahu berkhidmat, mereka wajar diberikan peluang," katanya.

Undi Machap sentiasa berpihak kepada Umno, hatta dalam pilihan raya umum (PRU) lalu yang menyaksikan sentimen menentang golongan pemegang kuasa yang kuat (anti-establishment) meluas dalam kalangan rakyat.

Ramai pengundi yang ditemu bual Malaysiakini menzahirkan rasa sangsi terhadap Muda ekoran tidak mengenali parti tersebut, manakala sesetengahnya terang-terang menyatakan yang mereka cenderung untuk tidak mempertimbangkan calon yang bukan Melayu-Islam.

Cenderung pilih calon Melayu

Itulah gambaran cabaran yang harus didepani Muda dalam menterjemahkan idealisme yang dibawa mereka untuk menjadi perubahan sebenar di lapangan.

Pemilik kedai runcit, Hanifah Mohamad, 65, berkata dia belum membuat keputusan mengenai siapa yang mahu dipilihnya pada 12 Mac ini. Tetapi yang jelas, dia mahukan pemimpin Islam sebagai wakil rakyat.

Ayah kepada anak empat itu berkata dia menyenangi aspirasi Muda, tetapi masih ragu-ragu untuk menyokong Sangaran.

“Saya juga bertanyakan pendapat orang di sekeliling saya tentang siapa yang harus saya sokongan pada PRN ini, sama ada BN, parti Mahathir (Pejuang), atau apa.

“Tapi, macam mana pun, saya mahukan wakil rakyat Melayu Islam. Saya suka melihat orang muda menjadi pemimpin, tetapi saya lebih cenderung untuk memberi sokongan kepada pemimpin Islam,” katanya.

Menurut Hanifah, dia mungkin menyokong Perikatan Nasional (PN) kali ini, dengan menyifatkan gabungan itu sebagai alternatif kepada BN yang tidak lagi disokongnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi berusia 60 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, mengulang naratif yang acap kali dicanang Umno bahawa “kaum lain"sudah menjadi semakin "lantang" selepas PRU 2018.

Pandangan sedemikian nampaknya lebih ketara dalam kalangan generasi lebih tua.

Susulan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik dan merendahkan kelayakan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, kini pengundi berusia 39 tahun ke bawah menjadi lebih ramai berbanding pengundi 40 tahun ke atas.

Belum kenal Muda

Bagaimanapun, pengundi yang lebih berusia selalunya yang lebih bersemangat untuk mengundi. Tidak ada jaminan bahawa pengundi lebih muda - yang sebelum ini ramai tidak ambil peduli pun untuk mendaftar mengundi - bersedia untuk mengundi dalam PRN kali ini.

Ada juga pengundi berusia melihat Muda dengan pandangan skeptik dengan membangkitkan bahawa pengalaman merupakan faktor yang penting.

“Mereka baru sangat. Susah saya nak beri mereka undi saya,” kata Adam Atan, 65.

Daud Siraj memberi jawapan bernada sama. Kata pesara yang berusia 60 tahun itu, dia suka melihat orang muda terlibat dalam proses demokrasi, namun baginya, Muda masih belum teruji sebagai parti politik.

Dia turut ragu-ragu untuk menyokong parti selain Umno, kerana - katanya - dia pernah berharap untuk melihat perubahan positif pada 2018, namun dihancurkan oleh apa yang disifatkannya sebagai “kesilapan” yang dilakukan Pakatan Harapan (PH).

Sesetengah pengundi muda turut menyatakan kesangsian sama ekoran tidak kenal dengan Muda.

“Saya tak berapa yakin, saya tak pasti calon itu boleh bekerja dengan baik ataupun tidak,” kata seorang mekanik 25 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Chong kepada Malaysiakini.

Seorang ibu anak dua yang hanya mahu dikenali sebagai Imah, 32, berkata BN sudah boleh diharap untuk membantu penduduk tempatan. Maka, baginya, dia sudah tidak perlukan Muda.

“Muda ni cuma untuk orang muda, kan? Macam BN, mereka bantu semua orang. Dan sudah ada rekod lampau yang membuktikan mereka membantu rakyat,” kata pembantu kedai itu.

Dia mengundi Bersatu dalam PRU lalu, namun bercadang untuk memilih BN kali ini.

Pun begitu, ada juga yang sanggup memberi peluang kepada Muda.

Bagi pemilik kedai telefon di Simpang Renggam yang hanya mahu dikenal sebagai Tey, 48, orang muda mungkin mampu membawa idea baru dalam pentadbiran.

“Saya rasa kita patut serahkan kerja ini kepada orang muda, bagus kerana mereka ini ada cara berfikir yang berbeza.

“Kita beri mereka peluang, supaya kita boleh lihat. Mereka juga bijak. Kalau kita terus dengan orang tua, maka jalannya adalah jalan lama - yang kita tetap hormat juga,” katanya.

Ong Chong Lee, 70, berkata yang dia bersedia untuk memberi peluang kepada Muda memandangkan dia pernah bertemu dengan mereka.

“Saya dah lihat bagaimana mereka buat kerja sebelum ini, jadi pada pandangan saya, mereka mampu mendapat sokongan,” katanya.

Kerusi Machap menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Onn Hafiz Ghazi dari BN, Azlisham Azahar dari PN, Shahruddin Md Salleh dari Pejuang, dan Sangaran.

Ia merupakan salah satu daripada dua kerusi di bawah kawasan parlimen Simpang Renggam yang disandang Maszlee Malik dari PKR selaku ahli parlimen.

Satu lagi kerusi DUN ialah Layang-Layang, yang turut bakal menyaksikan Maszlee bertanding sebagai calon.

Meskipun PH memenangi Simpang Renggam dalam PRU lalu, ia tewas di kedua-dua kerusi DUN di bawah kerusi parlimen berkenaan.

Maknanya, pengundi memilih BN di peringkat negeri, namun memilih pembangkang di peringkat pusat/persekutuan.

Machap mempunyai 65 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina dan lima peratus India.

Warga Johor akan membuang undi pada 12 Mac nanti.

[Baca berita asal]