Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lokman: Saya cuma suarakan kebimbangan isu vaksin

Lokman Noor Adam mendakwa hantarannya dia hanya meminta penjelasan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung tuntutan vaksinasi Covid-19 yang serius melibatkan kesihatan dan keselamatan awam.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata demikian sebagai hak hujah pembelaan istimewanya terhadap saman fitnah Khairy yang dikaitkan dengan hantaran Facebook dan YouTube Lokman.

Mengikut undang-undang sivil Malaysia bagi saman fitnah, keistimewaan yang layak ialah pembelaan terpakai dalam situasi membabitkan sesuatu perkataan itu diterbitkan oleh seseorang yang mempunyai kewajipan atau kepentingan undang-undang, sosial atau moral untuk menerbitkannya.

Menurut salinan pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dan dilihat oleh Malaysiakini, Lokman berhujah hantaran yang dipertikaikan Khairy itu tidak berunsur fitnah dan tidak didorong oleh niat jahat.

Defendan mendakwa pandangannya - yang disiarkan secara dalam talian itu - hanyalah untuk mendapatkan penjelasan daripada plaintif berhubung beberapa dakwaan melibatkan kepentingan awam.

Misalnya klip video yang didakwa perbualan antara seorang lelaki dan seorang doktor berhubung isu vaksin Covid-19 yang tamat tempoh yang ditujukan untuk bapa lelaki terbabit.

Lokman berhujah dia membangkitkan isu itu kerana vaksin Covid-19 yang tamat tempoh tidak sepatutnya diserahkan oleh kakitangan kesihatan, justeru dia mahu mendapatkan penjelasan daripada Khairy mengenai kebenaran dakwaan itu.

Defendan juga mendakwa siaran dalam taliannya itu semata-mata meminta penjelasan plaintif berhubung dakwaan yang tular dalam talian, sama ada dia sudah melengkapkan vaksinasinya atau tidak.

Lokman yang juga mengetuai NGO Laskar Siber Malaysia mendakwa dia giat memantau isu tadbir urus dan prestasi kerajaan serta pihak berkuasa, serta menyuarakan kebimbangan rakyat.

“Ini secara langsung atau tidak langsung adalah kepentingan umum kerana orang ramai diarah mengambil dua dos vaksin serta suntikan penggalak, dan pelbagai kekangan dikenakan kepada orang awam yang enggan mengambil vaksin. Malah, kanak-kanak pun kini diarahkan untuk mengambil vaksin tersebut.

“Defendan hanya menyuarakan kebimbangan dan persoalan yang melibatkan kepentingan awam, berhubung kesihatan dan keselamatan plaintif, untuk mendapatkan penjelasan dan jawapan daripada plaintif,” katanya.

Defendan juga memetik pembelaan lain terhadap tindakan fitnah Khairy, seperti justifikasi dan komen yang adil.

[Baca berita penuh]