Chin Tong: Najib berkempen macam dia calon MB
PRN JOHOR | Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata pihaknya mengalu-alukan bekas perdana menteri Najib Razak untuk berkempen seperti dia sendiri yang menjadi calon menteri besar.
Ia setelah Najib yang telah disabitkan bersalah di mahkamah mengadakan beberapa kegiatan kempen berprofil tinggi di kawasan Cina. Dalam kunjungan itu, sambutan terhadap Najib dilihat membarangsangkan, menyebabkan para penyokongnya mendakwa pengundi Cina tidak lagi menyokong DAP.
“Cara dia berkempen seolah-olah (Najib) calon menteri besar. Jika saya (penyandang menteri besar) Hasni Mohammad, saya akan sangat marah.
“Dia (Najib) tak boleh tawarkan apa-apa. Dia tawarkan rakyat Malaysia untuk kembali ke masa lalu, sebelum 2018 di mana Malaysia adalah ‘tempat yang sempurna’.
“Jadi, kita alu-alukan Najib dan dia patut datang sini setiap hari. Perling mengalu-alukan kehadirannya,” kata Liew dalam sidang media di situ.
Liew yang bertanding di Perling kekal dengan pandangannya yang langkah BN mempromosikan pemimpin yang didakwa atas tuduhan rasuah yang besar akan memakan diri, walaupun penyokong Najib mempunyai pendapat yang berbeza.
Antara yang menyokong kempen Najib adalam Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, yang turut mengkritik pemimpin DAP kerana sentiasa bertukar kawasan yang ditandingi.
Liew menyifatkan Nur Jazlan sebagai seorang “kawan” dan dia tidak ingin berkata “hal yang tidak baik” tentangnya.
Dia juga menegaskan apabila pemimpin DAP bertukar kawasan, mereka ke kawasan yang lebih berisiko demi membuka tapak politik yang baru.
“Sebagai pemimpin politik, ini adalah tentang khidmat dan juga kepimpinan - kami di sini untuk memimpin Johor selatan menuju masa depan,” katanya lagi.
Liew mengakui PH berdepan cabaran sukar dalam PRN Johor, dengan banyak faktor di luar jangka.
Ia sebahagiannya disebabkan landskap politik yang terpecah dan kemunculan ramai pengundi baru selepas pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik.
“Pastinya sukar untuk PH…tetapi ia juga sukar untuk BN dan Perikatan Nasional (PN) kerana selepas 2018, pengundi tahu yang mereka tidak lagi perlu takut pada ahli politik.
“Sebelum ini, ada segmen pengundi yang takut pada pentadbiran BN tetapi hari ini ia tidak lagi menjadi faktor. Ada juga sejumlah besar yang tidak pernah mengundi sebelum ini,” katanya lagi.
Liew menceritakan ketika kempennya, di mana dia berjumpa penduduk yang sebelum ini tidak pernah peduli untuk mendaftar sebagai pengundi tetapi akan mengundi pada kali ini, selepas didaftarkan secara automatik.
Manifesto pilihan raya
Liew juga mengumumkan manifestonya untuk DUN Perling, antaranya menyokong pembukaan semula sempadan Singapura dan Johor secara selamat.
Dia juga menyuarakan komitmen untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekosistem perniagaan yang lebih baik serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menangani masalah perumahan dan pengangkutan awam.
Liew mengakui Perling perlukan perancangan bandar, penebatan banjir dan pengurusan alam sekitar yang lebih baik.
Katanya, Johor mempunyai keperluan khusus yang mungkin sukar dipenuhi jika kerajaan negeri tunduk kepada Putrajaya.
Meskipun Liew telah melancarkan manifesto untuk Perling, PH masih tidak mempunyai tarikh pengumuman manifesto untuk Johor.
Namun, dia berjanji pengumuman akan dibuat dalam waktu terdekat tetapi menambah ia mungkin tidak akan dinamakan sebagai manifesto.
Dalam PRN kali ini, Liew akan mempertahankan kemenangan DAP di Perling, berdepan Khoo Siaw Lee (PN) dan Tan Hiang Kee (BN).
Pada PRU lalu, DAP menang di situ dengan majoriti 19,533 undi.
Perling adalah kerusi DUN campuran, merangkumi 44 peratus pengundi Melayu, Cina (44 peratus) dan India (11 peratus).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai