Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Teresa disiasat lepas didakwa 'ancam polis'

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok berdepan siasatan atas dakwaan membuat ancaman kepada polis.

Ia bermula ekoran program yang dianjurkan DAP dan MCA yang hanya berjarak 50 meter di Yong Peng, pada hari pertama kempen PRN Johor pada 26 Februari lalu.

Pada mulanya DAP mengadu bahawa mereka tidak dapat memulakan ceramah mengikut jadual kerana bunyi bising tarian singa di majlis makan malam MCA di sebuah restoran. Ceramah akhirnya bermula pada pukul 8.30 malam - lewat 30 minit.

Kok yang merupakan antara penceramah pada malam itu kemudian meminta polis agar membenarkan program dilanjutkan 30 minit lagi - melebihi had 10 malam - memandangkan mereka bermula lambat, tetapi polis tidak memberi kebenaran.

Kok kemudian didengar berkata dalam bahasa Cina, “jika kita jadi kerajaan, mereka akan tahu”. Rakaman video ucapan itu tular di media sosial, antaranya dikongsikan di halaman Facebook “Sahabat Bossku” dan telah ditonton sebanyak 300,000 kali.

Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan kemudian mengeluarkan kenyataan mendakwa Kok “membuat ancaman” kepada polis.

Pada 28 Februari, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata pihaknya sedang menyiasat kenyataan itu setelah satu laporan polis dibuat.

Hari ini DAP cuba menjernihkan keadaan dengan Kok menjelaskan dia tidak gembura dengan BN yang menurutnya membuli PH.

“Sebagai seorang penceramah malam itu, saya saksikan ketidakadilan terhadap penganjur ceramah PH.

“Dalam ucapan saya, saya rayu kepada polis untuk lanjutkan 30 minit sebagai ganti untuk masa kami diganggu oleh tarian singa anjuran penyokong MCA-BN, tapi saya kecewa kerana permintaan kita ditolak oleh polis yang bertugas.

“Saya yakin MCA-BN sengaja cuba untuk menunjukkan kuasanya dan membuli PH, dan ini menunjukkan keangkuhan mereka.

“Saya juga merasakan polis tidak benarkan tambahan 30 minit hanya kerana PH adalah pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kok mohon maaf

Dia juga memohon maaf jika keadaan itu menimbulkan salah faham.

“Saya sedia untuk beri kerjasama penuh kepada polis jika mereka ingin siasat saya tetapi saya juga minta polis siasat pelanggaran SOP pilihan raya oleh MCA-BN pada malam itu.

“Saya juga ingin mohon maaf kepada sesiapa yang salah faham atau keliru dengan keadaan sebenar pada 26 Februari, serta mereka yang rasa tersinggung,” katanya lagi.

Seorang lagi MP DAP Ngeh Koo Ham mempertahankan Kok, dengan berkata program makan malam MCA yang melibatkan ratusan hadirin tidak dikenakan tindakan.

“Kita bukan saja lihat MCA tak kisah tentang SOP tetapi keadaan ini juga tidak dikendalikan secara adil oleh pegawai polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jika mereka boleh arah ceramah kami untuk ditamatkan pada jam 10 malam, mereka juga patut arah tarian singa berhenti pada jam lapan malam, agar ceramah PH dapat diteruskan.

“Tambahan pula, SOP SPR jelas melarang kegiatan politik melebihi 100 orang tetapi ratusan hadir ke makan malam MCA-BN. Mengapa pihak berkuasa tak ambil tindakan?” soalnya dalam kenyataan berbeza.

“Malah, di saat ceramah PH terpaksa ditamatkan pada 10 malam, makan malam MCA dengan lebih 100 hadirin masih berlangsung,” katanya lagi yang turut menggesa acara itu disiasat.