Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP Jelutong diarah keluar dari Dewan Rakyat

RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) diarah keluar dari Dewan Rakyat selepas dia dilihat mengganggu bekas perdana menteri Najib Razak daripada membahaskan titah diraja.

Dia digantung menghadiri dewan oleh timbalan speaker Ramli Mohd Nor selama sehari.

Ini berlaku selepas Rayer meminta Dewan Rakyat menghalang Najib daripada berbahas dalam titah ucapan diraja atas alasan Najib berbohong berhubung perkara berkaitan kewangan negara dan 1MDB.

Memetik Fasal 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Rayer berkata Najib tidak seharusnya dibenarkan menyebarkan pembohongan untuk mengelirukan Dewan.

Ramli berkata Rayer boleh membangkitkan isu itu apabila tiba gilirannya untuk berdebat di dalam dewan.

Selepas beberapa percubaan untuk menghalang Rayer daripada membangkitkan isu itu, Ramli meminta bentara mengiringi Rayer untuk keluar dewan.

Susulan itu, Rayer bertanya: "Apa kesalahan saya?"

Ramli menjawab, “Mengelirukan Dewan".

Rayer enggan duduk dan membenarkan Najib meneruskan perbahasannya seperti yang diarahkan oleh Ramli.

“Tidak salah untuk kita meminta penjelasan daripadanya,” tegas Rayer.

"Tetapi Pekan (MP) enggan memberi laluan kepada anda," jawab Ramli.

“Saya tidak mengelirukan Dewan Rakyat, mereka hanya mahu mengganggu Dewan,” sanggah Najib, sebelum meneruskan perbahasannya mengenai 1MDB.