Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anwar: PM setuju longgar SOP PRN tapi...

PRN JOHOR | Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar melongggarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ini selepas ceramah umum pertama Pakatan Harapan (PH) di DUN Kota Iskandar malam tadi dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Menurut Anwar, dalam pertemuan dengan Ismail semalam, perdana menteri itu telah menyatakan persetujuan untuk melonggarkan SOP dalam kempen PRN Johor.

"PM di dalam pertemuan dengan kita beri perakuan, longgar sikit (SOP). Pilihan raya kita tak setuju, ada orang kata kita takut, tapi masalahnya ada pilihan raya tak boleh kempen, kempen 100 orang, tempat (pula) dalam dewan,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata SOP yang lebih adil mesti dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri kerana ia merupakan keputusan partinya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sehingga menyebabkan PRN diadakan.

"Saya minta PM lihat semula SOP supaya beri keadilan, mereka yang putuskan ada pilihan raya, mereka harus sedia terima SOP yang lebih adil.

"Banyak syaratnya (yang ditetapkan SPR). Kita setuju ada SOP, penjarakan fizikal, mesti pakai mask saya setuju, tapi kena bagi kelonggaran.

"Kita dengan keterbatasan kita tidak ada jentera dan caranya untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat melalui ceramah-ceramah dan ini memang dihalang," katanya.

Sementara itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menyatakan kesal apabila pihaknya dikenakan notis kompaun RM3,000 atas tiga kesalahan melanggar SOP ketika menyampaikan ceramah di Johor semalam.

"Semalam saya hadir ceramah di johor, didenda kompaun RM3,000 atas atas kesalahan, pertama penceramah tak pakai mask, sedangkan dalam parlimen, kita tak pakai mask.

“Kedua, tak ada lorong masuk dan keluar, sedangkan ceramah di dewan, nak masuk ke mana, keluar ke mana.

"PM berjanji, saya tanya semalam kepada PM, bolehkah kita kempen sampai 11 malam, dan PM cakap kenapa tak sampai 12 malam, apa beza Covid 10 malam dan beza 12 malam.

"Tapi cakap lain dan yang dilaksanakan di sana lain, ini menjadi masalah," kata Presiden Amanah itu.