Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muhyiddin: Najib cakap kosong, tak wajar banding dengan saya

PRN JOHOR | Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk membandingkan dirinya dngan bekas perdana menteri Najib Razak yang disifatkannya “becakap kosong” ketika kempen di Johor.

Dalam pertembungan personaliti ‘Abah’ melawan ‘Bossku’, kempen oleh Najib untuk calon BN setakat ini dilihat lebih mendapat perhatian berbanding penampilan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, tidak bersetuju dengan pandangan itu.

"Apa maksud kamu senyap? Najib cakap kosong sebab dia orang yang disabitkan salah. Macam mana kamu boleh percayakan dia?" soalnya kepada pemberita semasa sidang media di Johor Baru selepas melancarkan manifesto PN untuk rakyat Johor.

"Saya bercakap berdasarkan fakta. Saya tidak senyap tetapi kamu (media) tidak melaporkan apa yang saya katakan.

"Bukan saya saja, jentera kita turun untuk berkempen. Tidak wajar membandingkan saya dengan Najib," kata bekas Adun Gambir itu.

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed dalam satu temu bual dengan Malaysiakini berkata dialah yang mengatur agar Najib, yang telah disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa itu, untuk membantu dalam kempen MCA.

Jazlan berkata dia telah melakukannya atas semangat setiakawan untuk membantu calon Perling yang kurang dikenali, kerana ia adalah kerusi DUN dalam Pulai, di mana kawasan parlimen tempatnya berkhidmat sebagai ahli Parlimen dari 2004 hingga kekalahannya pada 2018.

‘Umum calon MB pada masa yang sesuai'

Jazlan juga berkata strategi PN menggunakan Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ mereka dalam pilihan raya Johor, dengan ketiadaan calon menteri besar adalah tidak berkesan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan hari ini bahawa calon menteri besar PN akan diumumkan pada masa yang sesuai.

"Ya kita akan umumkan pada masa yang sesuai. Tak ada masalah. Tak boleh ada kerajaan kalau tak ada menteri besar,” kata Muhyiddin yang juga bekas menteri besar Umno Johor dari 1986 hingga 1995.

BN setakat ini mengumumkan bahawa penyandang menteri besarnya Hasni Mohammad, yang mempertahankan kerusinya di Benut akan dikekalkan dalam jawatannya.

PH pula masih belum membuat pengumuman rasmi tetapi antara nama yang dispekulasikan untuk jawatan itu adalah Maszlee Malik yang bertanding sebagai calon PKR bagi DUN Layang-Layang.