Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Permohonan kedua Rosmah gugur hakim salah guna proses mahkamah - DPP

Permohonan Rosmah Mansor untuk membatalkan kelayakan hakim daripada membicarakan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta melibatkan isteri bekas perdana menteri itu adalah cacat, kata timbalan pendakwa raya (DPP).

Gopal Sri Ram berhujah di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa permohonan itu merupakan salah guna proses mahkamah memandangkan hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan, telah pun memutuskan permohonan serupa tahun lepas.

Pada 14 Dis tahun lalu, Zaini menolak permohonan Rosmah untuk mengenepikannya sebagai hakim perbicaraan dalam ke jenayah yang dihadapinya.

Rosmah mengatakan terdapat risiko hakim berkenaan akan bertindak berat sebelah.

Semasa prosiding di mahkamah terbuka di hadapan Zaini hari ini, Sri Ram yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan berhujah bahawa permohonan agar hakim itu digugurkan adalah menyerupai permohonan yang telah ditolak sebelum ini.

“Ia adalah satu penyalahgunaan proses (mahkamah) kerana Yang Arif (Zaini) telah pun mendengar hujah mengenai isu ini pada 14 Dis tahun lepas.

Sri Ram menegaskan selain ia menyalahgunakan sepenuhnya proses mahkamah, doktrin estoppel juga terpakai terhadap Rosmah.

“Permohonan (menggugurkan hakim ini) ini bukan baru,” hujah DPP.

Peguam: Permohonan baru atas alasan berbeza

Bagaimanapun, peguam bela Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jalaluddin dalam hujah balasnya berkata permohonan mengenepikan hakim itu bukanlah satu penyalahgunaan proses mahkamah, kerana ia dibuat atas alasan berbeza.

Peguam itu berkata, permohonan sebelum ini dibuat atas alasan Zaini membenarkan pihak pendakwaan membangkitkan isu kes pengubahan wang haram Rosmah dalam kes berasingan yang lain, iaitu kes rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Zaini bukan sahaja mendengar kes rasuah solar yang sedang berlangsung terhadap Rosmah, tetapi juga mendengar kes pengubahan wang haram melibatkan bekas isteri perdana menteri itu yang masih belum dibicarakan sepenuhnya.

Sri Ram merupakan DPP dalam kedua-dua kes jenayah terhadap Rosmah.

Sambil diperhatikan Rosmah dari kandang tertuduh hari ini, Firoz berhujah bahawa permohonan menggugurkan hakim berkenaan adalah atas alasan yang berbeza, antaranya Zaini telah mendengar banyak kes mahkamah lain secara langsung dan tidak langsung melibatkan Rosmah.

Peguam itu berhujah bahawa terdapat risiko kes mahkamah lain mempengaruhi fikiran hakim ketika membicarakan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai melibatkan Rosmah.

Firoz berkata Zaini telah membicarakan kes mahkamah lain, antaranya saman pelucuthakan oleh kerajaan berkaitan 1MDB terhadap Rosmah dan keluarganya.

Peguam itu menegaskan bahawa Zaini juga kini membicarakan kes laporan audit 1MDB terhadap suami Rosmah, iaitu bekas perdana menteri Najib Razak.

Lebih daripada itu kata Firoz, hakim berkenaan juga telah mengarahkan Rosmah untuk membela diri dalam kes rasuah berkaitan projek tenaga solar tahun lepas.

[Baca berita penuh]