Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akta lompat parti: 'PM jamin pindaan Perlembagaan dibentang minggu depan'

PARLIMEN | Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan kepada PH bahawa pindaan perlembagaan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang pada minggu depan, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Menurut Kketua pembangkang itu, jaminan itu dimaklumkan ketika pertemuan yang diadakan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan Ismail di Parlimen, hari ini.

“Kami mendapat jaminan daripada perdana menteri bahawa suatu pindaan Perlembagaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang minggu depan,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Undang-undang antilompat parti dan had penggal bagi perdana menteri adalah syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MOU) antara Ismail dengan PH tahun lalu.

Sejak Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Wan Jaafar telah mengadakan banyak sesi perbincangan mengenai perkara perundangan dengan ahli parlimen termasuklah RUU tersebut.

Pada masa sama, Anwar turut mencadangkan agar kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) diberikan bagi memudahkan proses kempen PRN Johor.

“Kami juga mengulangi pendirian berhubung penjelasan beliau di Parlimen pagi tadi berhubung peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif,” katanya ahli parlimen Port Dickson itu lagi.