Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Pegawai polis maut tembak diri sendiri ada prestasi baik, berintegriti'

Pegawai polis yang maut selepas dipercayai menembak kepalanya di sebuah rumah di Jalan Selingsing, di Kuala Lumpur semalam merupakan pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pegawai berusia 35 tahun itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.

“Pegawai polis berkenaan pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pada Ogos tahun lepas.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan pegawai berkenaan tiada masalah berkaitan kerja dan sebelum ini dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan kemudian ditukarkan ke IPD Dang Wangi tiga bulan lepas.

Beh berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penerimaan semula pondok polis yang dibaik pulih oleh MRT Corp di Pondok Polis Batu 3, Kuala Lumpur.

Menurutnya, proses bedah siasat pegawai polis berkenaan akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Beh berkata pegawai itu yang mempunyai seorang isteri dan dua anak, ditemui mati di rumah kawannya.

"Saksi merupakan kawan kepada pegawai polis berkenaan, ketika kejadian ada kawan lelaki dan kawan perempuan dalam rumah yang didiami beberapa orang itu," katanya.

Beh dilaporkan berkata kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu IPD Sentul menerima panggilan daripada sistem MERS 999 pada kira-kira 3.30 petang.

Semalam, seorang pegawai polis berpangkat Insp maut dipercayai menembak kepalanya dengan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing pada Ahad.

Sementara itu, Beh berkata pondok polis yang diterima pihaknya itu akan beroperasi semula pada hari ini setelah tiga tahun ditinggalkan akibat pembinaan projek MRT.

-Bernama


Jika anda berasa tertekan, mempunyai kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang seperti itu, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah-langkah di laman web.

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan barisan sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.