Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K'jaan Terengganu didakwa 'culas' urus banjir luar biasa

Kerajaan Terengganu didakwa ‘culas’ kerana dikatakan tidak bersiap sedia bagi menghadapi banjir dan membiarkan rakyat berhempas-pulas menghadapi banjir yang disifatkan luar biasa tahun ini.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali, sepatutnya, kerajaan negeri mengeluarkan amaran sebulan lebih awal sebagai persediaan rakyat menghadapi musim banjir.

“Hairannya mengapa tiada langsung siap siaga kerajaan negeri di pantai timur ini memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan ramalan kaji cuaca semenjak awal Februari lalu, cuaca di Terengganu tidak seperti biasa.

“Ini adalah satu tindakan culas daripada kerajaan negeri Terengganu yang membiarkan rakyat Terengganu berhempas-pulas tanpa amaran awal dari pihak kerajaan negeri walaupun dengan ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan lebih awal oleh pihak kerajaan.

“Selain itu, kami juga mempersoalkan urus tadbir kerajaan negeri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menangani isu banjir di negeri Terengganu.

“Umum mengetahui banjir di Pantai Timur adalah satu perkara normal namun sehingga sekarang tiada langkah proaktif dari pihak kerajaan negeri walaupun menteri besar Terengganu telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Pusat bagi menghadapi musim banjir,” katanya pada satu kenyataan.

Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di pantai timur sejak minggu lalu menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir.

Meskipun banjir dianggap kejadian normal di pantai timur, di Terengganu, banjir kali ini disifatkan luar biasa apabila kawasan-kawasan yang tidak pernah dinaiki air turut dilanda banjir.

Penduduk menggunakan media sosial untuk berkongsi rakaman situasi banjir buruk di tempat masing-masing, serta misi menyelamatkan penduduk yang terkandas menggunakan bot.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat tengah hari tadi, 166 pusat pemindahan dibuka di negeri berkenaan, melibatkan 13,519 mangsa daripada 3,860 keluarga.

Mengulas lanjut, Haikal mendesak kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan banjir kepada rakyat, selain mengeluarkan amaran sebulan lebih awal, serta mengemaskini maklumat kaji cuaca di negeri berkenaan memandangkan dunia sedang menghadapi perubahan iklim.

Dia turut mempersoalkan tentang perkembangan persediaan banjir yang diperkatakan menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini - termasuk membina terowong Smart, kota takungan pinggir sungai dan membangunkan sistem amaran berdasarkan kecerdasan buatan.

“Mana langkah persediaan yang dilaungkan Ahmad Samsuri sebelum ini?

“... Ternyata ia sekadar omongan kosong kerana sehingga sekarang rakyat Terengganu terperangkap dalam banjir akibat kelalaian daripada pihak kerajaan negeri,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri dilaporkan Bernama menyambut baik perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mitigasi bencana dan banjir seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Lapan langkah strategik - termasuk yang dipersoalkan Haikal - baru digariskan pada awal bulan ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 6,963 orang daripada 2,072 keluarga semalam.

Mereka ditempatkan di 157 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 44 di Besut, Setiu (30), Hulu Terengganu (27), Dungun (23), Kemaman (22), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan cuaca di kebanyakan daerah di negeri berkenaan dijangka baik pada pagi ini manakala dilaporkan enam sungai masih di paras bahaya, iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).