Malaysia masih tunggu keputusan Arab Saudi isu kuota haji
Malaysia masih menunggu keputusan akhir daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata sehingga kini kerajaan belum menerima jumlah kuota yang diperuntukkan Arab Saudi, iaitu kebiasaannya Malaysia dibenarkan menghantar seramai kira-kira 32,000 jemaah.
“Sekiranya sudah ada angka yang tepat, kita akan mula menyaring para jemaah yang layak untuk pergi mengerjakan haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini.
Selain itu, katanya, berikutan peningkatan sebanyak 15 peratus cukai tambah nilai (VAT) yang dikenakan Arab Saudi, kos haji dijangka turut meningkat tahun ini.
"Begitu juga dengan kos hotel di Arab Saudi mungkin akan meningkat disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengurangkan jumlah jemaah dalam satu bilik, sekiranya ada peningkatan kos haji pada tahun ini, kerajaan (akan) pastikan ia tidak akan membebankan para jemaah yang layak.
“Kerajaan mungkin akan melaksanakan subsidi secara bersasar kepada jemaah haji supaya mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu belum menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang dilarang masuk ke masjid, Ahmad Marzuk berkata ia adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.
“Walaupun ia tidak diwajibkan tetapi saya sangat galakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak sebagai pelindung tambahan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan kepada 76 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Titingan pada tahun lepas.
Sumbangan berupa bakul makanan itu disumbangkan oleh YaPEIM bernilai RM28,000 serta Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (RM12,400).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai