PRN Johor: Zuraida ucap tahniah buat 37 calon wanita
Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) Zuraida Kamaruddin mengucapkan tahniah kepada 37 calon wanita yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Angka ini adalah bertambah daripada 28 orang calon wanita berbanding PRN yang lalu.
"Bagi pihak Comwel, saya juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada kesemua calon-calon wanita ini dan berharap mereka akan membawa perubahan positif kepada rakyat sekiranya mereka berjaya menjadi wakil rakyat nanti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata bahawa jumlah calon wanita hanyalah 15.5 peratus daripada jumlah calon yang bertanding dalam PRN kali ini.
"Walaupun jumlah calon wanita hanyalah 15.5 peratus daripada jumlah calon yang bertanding, saya berharap pengundi-pengundi akan memberi peluang kepada calon-calon wanita untuk menang di kawasan-kawasan yang ditandingi.
"Ternyatalah apabila seorang wakil rakyat adalah wanita, dia pasti akan membawa isu-isu berkenaan dengan wanita dan keluarga untuk dibincang semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung dan juga untuk penggubalan polisi-polisi yang berkaitan,” katanya.
Zuraida juga mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah mencalonkan jumlah wanita yang tertinggi di kalangan parti-parti yang bertanding, iaitu 14 orang wanita kesemuanya.
Bagi parti-parti yang tidak mempunyai begitu ramai calon wanita, dia berharap pimpinan parti-parti tersebut akan berusaha lagi untuk membangunkan pemimpin-pemimpin wanita pada masa hadapan.
Tambahnya, untuk mencapai 30 peratus wanita dalam Dewan Undangan Negeri, sekurang-kurangnya 17 orang wanita perlu menang di kawasan-kawasan mereka.
Pemilihan negeri Johor ditetapkan pada 12 Mac, dengan hari penamaan calon telah diadakan semalam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai